Saturday, July 13, 2013

Lebih 41,000 calon dapat tawaran ke IPTA sesi 2013/2014

Posted by Smookiekins On 7/13/2013 12:39:00 PM
Seramai 41,573 calon berjaya mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk mengikuti program ijazah pertama bagi sesi akademik 2013/2014.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Prof Datuk Morshidi Sirat berkata mereka dipilih daripada 68,702 permohonan.

“Seramai 24,489 atau 58.9 peratus adalah daripada aliran sains dan 17,084 (41.1) peratus lagi aliran sastera.

“Daripada jumlah ini seramai 28,280 calon wanita berjaya mendapat tempat di IPTA dan selebihnya lelaki,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Selain itu 49 calon Orang Asli turut menerima tawaran ke IPTA, 68 calon orang kelainan upaya, dan 1,515 atlet kebangsaan dan antarabangsa, katanya.

Morshidi berkata pihak IPTA akan mengeluarkan surat tawaran rasmi kepada calon yang berjaya mulai hari ini.

Prestasi calon yang berjaya mengikut kaum adalah 30,903 (74.3 peratus)Bumiputera, 7,913 (19 peratus) Cina, 1,824 (4.4 peratus) India dan 933 (2.3 peratus) kaum-kaum lain, katanya.

Morshidi berkata seramai 5,765 calon ditawar mengikuti program pengajian kompetitif iaitu perubatan (699), pergigian (119), farmasi (260), undang-undang (385), kejuruteraan kimia (953), kejuruteraan mekanikal (1,304), kejuruteraan elektrik dan elektronik (1,122) dan perakaunan (923).
Beliau berkata kejayaan calon untuk memperoleh tempat di IPTA bergantung kepada susunan merit dan pemilihan program pengajian di IPTA yang dipohon.

“Jika merit calon tidak begitu tinggi dan memohon program pengajian kompetitif, berkemungkinan besar calon tidak terpilih untuk ditawarkan program pengajian dalam pilihan mereka,” katanya.

Morshidi berkata selain itu, jika calon hanya memohon di IPTA yang popular, mereka akan menghadapi persaingan yang tinggi dan akhirnya tidak mendapat apa-apa tawaran daripada IPTA berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata semakan keputusan permohonan ke IPTA boleh dibuat melalui laman web http://upu.mohe.gov.my, http://www. jpt.utm.my, http://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my, http://jpt.ums.edu.my bermula hari ini, atau menghubungi talian hotline 03-8870 6767, Helpline 03-8870 6777, talian am 03-8870 6755/ 6766 atau menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip UPU RESULT (no KP) dan SMS ke 15888.

“Calon-calon yang berjaya perlu membuat pengesahan setuju terima tawaran oleh IPTA dalam tempoh 10 hari iaitu pada atau sebelum 21 Julai. Pengesahan setuju terima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak melalui laman web IPTA,” katanya.

Mereka juga boleh datang ke Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi di Presint 5 untuk membuat semakan mulai hari ini sehingga 21 Julai.

Calon yang gagal boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 10 hari melalui e-Rayuan di laman web http://upu.mohe.gov.my mulai hari ini dan berakhir 21 Julai 12 tengah malam.

Katanya keputusan pemilihan rayuan tertakluk kepada kekosongan tempat dan rayuan dianggap gagal jika tiada sebarang jawapan diterima dari IPTA sehingga 30 Sept depan.

Morshidi berkata tarikh pendaftaran pelajar baharu ke IPTA ialah dari 1 sehingga 2 Sept.


Source: New Sabah Times
Reactions:

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...