Wednesday, April 10, 2013

Tanah hak milik berkelompok atasi kemiskinan kaum pribumi

Posted by Smookiekins On 4/10/2013 09:30:00 AM
KOTA KINABALU: Konsep tanah hak milik berkelompok yang diperkenal kerajaan negeri Sabah pada Mei 2010 merupakan langkah berkesan bagi menangani isu kemiskinan kaum pribumi, terutama di pedalaman negeri itu.

Menurut Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), menerusi pemilikan berkelompok tanah itu dapat dibangunkan dengan projek pertanian yang berkonsepkan agropolitan.

“Walaupun diberi tanah bagi tujuan pertanian, kerajaan negeri mendapati masih ramai golongan pribumi hidup dalam kemiskinan. Selain itu, terdapat juga kes tanah dijual atas pelbagai sebab peribadi seperti membiayai pengajian anak,” kata IDS menerusi majalah terbitan bulanannya yang terkini.

Sehubungan itu, bagi memastikan kebajikan kaum pribumi terus terpelihara selain mencegah tanah tersebut jatuh ke tangan orang luar, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman memperkenalkan konsep hak milik berkelompok.

Di bawah konsep hak milik berkelompok itu tanah terbabit tidak boleh dijual tanpa persetujuan semua pemilik yang namanya tercatat pada geran hak milik, tidak boleh dipindah milik atau dipajak, namun boleh diwarisi oleh anggota keluarga.

Pelaksanaan dasar itu susulan pindaan Seksyen 76 Ordinan Tanah Sabah pada 10 Dis 2009.

Bagi memastikan kaum pribumi tidak terpinggir daripada ekonomi arus perdana, kerajaan negeri melaksanakan projek agropolitan yang menumpukan kepada tiga bidang utama iaitu zon pertanian utama (MAZ), zon ekonomi komuniti (CEZ) dan kawasan petempatan (SA).

MAZ akan menumpukan kepada pembangunan pertanian seperti ladang kelapa sawit dan projek ini dijangka dapat meningkatkan kualiti kemudahan asas termasuk fasiliti untuk masyarakat di kawasan terbabit.

Peserta projek dijangka memperoleh pendapatan bulanan antara RM800 dan RM1,500 sekali gus membebaskan mereka daripada kepompong kemiskinan.
 
Sumber : New Sabah Times 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...