Wednesday, April 10, 2013

Lima kem tentera dengan sistem modular kabin sementara akan dibina

Posted by Smookiekins On 4/10/2013 09:35:00 AM

9th April, 2013

SEMPORNA: Lima kem tentera dengan sistem modular kabin sementara akan dibina bagi pelaksanaan operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan kawasan tanggungjawab Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) bagi kesiapsiagaan pasukan itu di negeri ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, kawasan untuk kem-kem ini telah dikenalpasti dan dijangkakan siap dalam masa enam bulan maksimum dan boleh digunakan dalam tempoh lima tahun.

Menurutnya, untuk jangka masa panjang pula kem-kem tetap atau kekal, akan dibina dengan kerjasama kerajaan negeri yang telah mengenalpasti tanah-tanah dan syarikat-syarikat kerajaan negeri untuk membangunkan kem-kem tersebut.

“Dengan itu aset-aset tetap akan dimobilaisasikan dari kem-kem yang sedia ada di Sarawak dan Semenanjung untuk di bawah ke ESSZONE.

“Sehingga itu sebagai langkah awal telah membawa Adnan dan aset-aset yang berupa kereta perisai berantai akan dibawa dengan lebih banyak lagi disamping aset-aset yang melibatkan tentera laut dan darat,’’katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan bersama pemimpin-pemimpin Barisan Nasional Semporna di Dewan Masyarakat di sini kelmarin.

Katanya, satu batalion tentera akan ditempatkan di setiap kem sementara itu dengan kekuatan mengikut keperluan setiap kem.

Jelasnya, pembinaan kem-kem berkenaan adalah berikutan kawasan tanggungjawab keselamatan yang semakin luas dan daerah ini merupakan salah satu kawasan penting untuk dijaga.

Sementara itu, beliau meminta rakyat mewujudkan rasa kebolehpercayaan yang tinggi terhadap kestabilan dan keselamatan untuk negeri ini dan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 ini.

“Jangan khuatir kerana kesiapsiagaan tentera dan polis berada ditingkat optima dan jangan khuatir dengan ugutan-ugutan atau ancaman yang disebarkan tetapi mengundilah dengan cara aman dan percaya dengan pasukan keselamatan,’’katanya.

Katanya, kerajaan sentiasa mahu menegakkan negara yang demokratik dan konsep pembuangan undi akan berjalan dengan seaman-amannya.

Terdahulu, beliau telah menghadiri program Bersama Unit Ronda Bermotosikal (URB) PDRM di IPD Semporna bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan telah menyerahkan 17 unit motosikal URB.

Sumber : New Sabah Times

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...