Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan kepada semua
rakyat Malaysia supaya tidak menggadaikan masa depan negara dengan
memilih pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan
datang.
Beliau berkata, PRU-13 bukannya tempat untuk melakukan
eksperimen sebaliknya pilihan raya tersebut merupakan platform terbaik
untuk memilih sebuah kerajaan yang kuat serta mempunyai rekod meyakinkan
seperti kerajaan Barisan Nasional (BN).
Tegasnya lagi, rakyat
harus sedar bahawa kestabilan serta keamanan negara hanya boleh dibentuk
melalui sebuah kerajaan yang benar-benar kuat dan bukannya daripada
sebuah kerajaan yang lemah.
''Oleh itu jangan perjudikan masa
depan negara dengan memilih pakatan pembangkang. Ketiga-tiga parti
tersebut berlainan ideologi, berlainan platform. Mereka bukan satu parti
yang kukuh.
''Malah sehingga kini pakatan pembangkang tidak
didaftarkan sebagai sebuah parti (seperti BN). Bukan itu sahaja,
sehingga kini persoalan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri masih
belum diputuskan,'' katanya dalam program Conversation with the PM yang
disiarkan di TV3 malam ini.
Najib dalam program itu turut
menyentuh mengenai kegagalan pihak pembangkang menunaikan janji
manifesto mereka seperti yang ditawarkan pada pilihan raya 2008 yang
sepatutnya membuka mata rakyat.
''Mereka gagal menunaikan
manifesto pilihan raya 2008. Janji hanya tinggal janji. Janji mereka
hanya janji kosong. Bahkan ada pemimpin mereka kata manifesto bukannya
janji,'' ujarnya.
Berbanding dengan BN, beliau berkata, sejak 50
tahun lalu parti tersebut berjaya membuktikan kemampuannya mentadbir dan
membela nasib rakyat dengan baik.
''Cuba lihat pemerintahan BN
dalam tempoh empat tahun yang lalu bagaimana kerajaan bersungguh-sungguh
membangunkan negara dan membela rakyat melalui agenda transformasi
negara.
''Hasilnya pertumbuhan ekonomi negara pada suku terakhir
tahun lalu mencecah 6.4 peratus dan 5.6 peratus keseluruhan tahun dalam
keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
''Begitu juga pencapaian kita dalam meningkatkan pendapatan per kapita dalam tempoh tiga tahun sebanyak 49 peratus,'' katanya.
Beliau
berkata, pada tahun 2009 pendapatan per kapita yang direkodkan adalah
sebanyak AS$6,700 (RM20,700) setahun tetapi pada hujung 2011 pendapatan
per kapitanya ialah AS$9,700 (RM30,070) setahun.
''Mesej yang mahu
saya sampaikan di sini ialah dalam tempoh empat tahun ini kita telah
sedaya upaya memajukan negara dan membela rakyat dan inilah hasilnya.
''Insya
Allah sekiranya rakyat terus memberi mandat kepada BN kita akan
menawarkan banyak lagi agenda-agenda untuk memajukan negara serta rakyat
dalam tempoh lima tahun lagi,'' katanya lagi.
Menjawab satu soalan beliau berkata, BN akan melancarkan manifestonya selepas Parlimen dibubarkan.
''Kita
tidak boleh terlalu awal dan terlalu lewat untuk melancarkan manifesto
ini. Kita mahu rakyat memberi perhatian kepada manifesto kita dan dalam
masa sama menyebar luaskan untuk pengetahuan seluruh rakyat,'' katanya
lagi.
Mengenai calon yang akan mewakili BN, Perdana Menteri
memberi jaminan hanya calon boleh menang sahaja yang akan mewakil parti
tersebut,
''Secara umumnya senarai calon hampir siap tetapi
senarai ini masih tertakluk kepada perubahan-perubahan sehingga saat
kita akan umumkan nanti. Walau apa pun kebanyakan kawasan telah kita
putuskan,'' katanya lagi.
Sumber: Utusan Online
rakyat kena buat pilihan paling bijak
ReplyDelete