Wednesday, March 13, 2013

Anwar Ibrahim 'rakan lama' Nur Misuari

Posted by Smookiekins On 3/13/2013 10:06:00 AM

Laman web Wikileaks pada 2007 pernah mendedahkan pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari (gambar) yang ketika itu menjadi tahanan di rumahnya mempunyai hasrat menakluk Sabah dari Malaysia.

Kabel 07MANILA1534 bertarikh 11 Mei 2007 di laman web itu mendedahkan, peguam MNLF, Ombra Jainal pernah menyifatkan Nur Misuari sebagai orang yang tepat untuk mendapatkan semula Sabah dari Malaysia. 

Maklumat itu terdapat dalam http://wikileaks.org/cable/2007/05/07MANILA1534.html.

Menurut maklumat itu, Nur Misuari masih marah terhadap Malaysia kerana menahan dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa Filipina pada Januari 2002.

Perkara 6 di dalam kabel itu menyatakan, Nur Misuari pernah memberitahu seorang pemimpin kanan Angkatan Tentera Filipina (AFP), Mejar Jeneral Ben Dolorfino bahawa apabila masanya, MNLF mungkin boleh menyerang Sabah pada pukul 5 pagi dan mengambil alihnya pada pukul 7 pagi.

Pada 2007, Nur Misuari yang ditahan di rumahnya atas dakwaan melakukan keganasan ketika itu cuba mendapatkan perintah mahkamah untuk membenarkannya pulang ke bandar Jolo bagi berkempen sebagai Gabenor Sulu.

Menurut Wikileaks, dalam maklumat itu, Nur Misuari juga pernah dilaporkan mendakwa beliau secara peribadi adalah pewaris sah yang berhak menuntut Sabah berdasarkan darah keturunan rajanya dan menyalahkan Malaysia sebagai ejen yang menimbulkan huru-hara di Sulu.

Pendedahan di Wikileaks itu juga menyatakan Fuad Kiram yang mengisytiharkan dia sebagai Sultan Sulu telah memberikan gelaran Datu (putera raja) Kesultanan Sulu dan Borneo Utara (Sabah) kepada Nur Misuari ketika pemimpin MNLF itu ditahan di rumahnya pada 14 Mac.

Kabel itu turut mendedahkan bahawa Dolorfino pernah memberi komen tentang kebimbangan Malaysia terhadap niat Nur Misuari itu yang masih mempunyai beratus pengikut di negeri itu.

''Malaysia juga bimbang mengenai hubungan beliau dengan pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai 'rakan lama' Nur Misuari,'' menurut kabel itu.

Menurut kabel itu, beberapa pegawai dari Malaysia telah mengadakan sekurang-kurangnya tiga pertemuan dengan Nur Misuari atau isteri-isterinya seperti yang dinyatakan oleh Jainal dan Dolorfino.
"Dolorfino berkata, pada pertemuan 10 April, rombongan khas daripada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (pada ketika itu) telah memberitahu Nur Misuari agar tidak mencampuri urusan politik dalaman Malaysia.

"Menurut Jainal pula, Nur Misuari berjanji kepada wakil Abdullah bahawa beliau tidak berniat untuk terlibat dalam urusan dalaman Malaysia," kata Wikileaks.


Kabel itu turut menyatakan bahawa aDolorfino berpendapat yang Malaysia mahu mencari jaminan yang lebih kukuh bahawa Nur Misuari tidak meneruskan isu tuntutan Sabah itu.



Sumber: Utusan Online

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...