Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan ada
pihak yang menjadi dalang di sebalik insiden pencerobohan di Lahad Datu,
Sabah boleh ditubuhkan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin
Tun Hussein.
Namun, katanya siasatan yang dijalankan suruhanjaya
itu tidak harus mengganggu atau menjejaskan siasatan insiden itu oleh
pihak berkuasa.
“Saya sokong cadangan menubuhkan RCI sekiranya orang ramai ingin tahu apa yang sebenarnya terjadi di Lahad Datu.
“Saya
tidak mahu ada orang yang tidak berdosa dituduh dan tidak mahu dalang
yang terlibat ke luar negara,” katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Tentera yang ke-48 di Kem Sungai
Buloh di sini, kelmarin.
Sebelum ini, banyak pihak termasuk bekas
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta kerajaan menubuhkan RCI
bagi membongkar dalang insiden pencerobohan di Lahad Datu.
Berhubung tiga dalang yang didakwa terbabit dalam insiden Lahad Datu, Hishammuddin berkata pihaknya masih menjalankan siasatan.
Beliau
berkata Naib Presiden PKR Tian Chua tidak berhak menggesa kerajaan
mendedahkan tiga dalang insiden itu setelah memperlekehkan anggota
pasukan keselamatan negara yang terkorban dalam kejadian itu.
Hishammuddin
menegaskan kejadian itu amat serius sehingga kerajaan menubuhkan Zon
Selamat Sabah Timur (Esszone) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur
Sabah (Esscom).
“Oleh itu, dia (Tian Chua) tidak berhak menggesa
kerajaan kerana dia telah buat kenyataan yang tidak bertanggungjawab
yang telah menyinggung anggota keluarga tentera dan Polis Diraja
Malaysia (PDRM) yang terkorban kerana insiden itu,” katanya.
Pada
27 Jun lepas, Tian Chua yang juga Anggota Parlimen PKR bagi kawasan Batu
berkata kerajaan perlu mengambil tindakan tegas dan cepat untuk
mendedahkan dalang insiden pencerobohan itu bagi membolehkan pendakwaan
segera dilakukan ke atas individu terbabit.
Insiden penceroboh
pengganas selatan Filipina itu menggemparkan negara setelah mereka
menduduki kawasan perkampungan di Lahad Datu pada 12 Feb lepas dan
kerajaan melancarkan Operasi Daulat pada 5 Mac dalam mempertahankan
kedaulatan negara.
Lapan anggota polis dan dua tentera terkorban dalam Operasi Daulat manakala 68 pengganas ditembak mati.
Sumber: New Sabah Times
0 comments:
Post a Comment