Thursday, July 4, 2013

CyberSecurity perkenal Malaysia Trustmark

Posted by Smookiekins On 7/04/2013 05:14:00 PM
CyberSecurity Malaysia memperkenalkan Malaysia Trustmark iaitu program khusus menentukan kesahihan perniagaan atas talian (online) bagi membanteras penipuan internet, sekali gus meningkatkan keyakinan pelanggan. 

Pengerusinya, Tan Sri Jeneral (B) Mohd Azumi Mohamad, berkata program itu adalah mekanisme bagi pelanggan untuk menilai dan mengesahkan entiti e-perniagaan tertentu sebelum meneruskan transaksi atas talian.

“Menerusi kaedah ini, pelanggan dapat memastikan urusan atas talian mereka adalah sahih dan syarikat yang mengendalikan perniagaan dengan mereka diperakui sah. 

“Tahun lalu, pusat bantuan CyberSecurity Malaysia, Cyber999 menerima 4,001 laporan mengenai penipuan internet iaitu 40 peratus daripada keseluruhan 9,986 penipuan yang dilaporkan sepanjang 2012 termasuk laman phishing, penipuan atas talian dan laman web palsu.

“Urusan atas talian ini berteraskan kepercayaan. Justeru, memang kena pada masanya kita lancarkan Malaysia Trustmark, yang juga salah satu inisiatif kerajaan untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap e-perniagaan,” katanya pada majlis pelancaran Malaysia Trustmark, di sini semalam.

Sejak ia diperkenalkan pada 2012, Azumi berkata pihaknya sudah menerima 43 permohonan termasuk 12 yang diterima untuk penilaian, lapan diaudit dan enam sudah ditauliahkan pengiktirafan Malaysia Trustmark. 

Beliau berharap lebih banyak entiti e-perniagaan akan menyertai program terbabit bagi memperoleh pengiktirafan Malaysia Trustmark untuk laman sesawang masing-masing.

Pengiktirafan Malaysia Trustmark itu diberi kepada entiti e-perniagaan sebagai pengesahan sudah memenuhi peraturan yang ditetapkan CyberSecurity Malaysia, berasaskan garis panduan World Trustmark Alliance (WTA).



Sumber: Berita Harian 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...