Wednesday, July 3, 2013

K'jaan BN ambil berat pandangan rakyat

Posted by Smookiekins On 7/03/2013 04:41:00 PM
Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil berat mengenai suara dan pandangan rakyat mengenai cadangan untuk membenarkan salah seorang daripada ibu atau bapa menukar agama anak di bawah umur kepada Islam.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata, perkara itu perlu diperhalusi dan kini diserahkan kepada menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, Jamil Khir akan membuat pengumuman mengenai perkara itu yang dikira menjurus kepada kebaikan semua pihak.

“Kerajaan sememangnya peka dan prihatin terhadap suara dan pandangan rakyat yang berlainan agama dan budaya.

“Justeru itu kerajaan amat mengambil berat terhadap kebimbangan daripada sesetengah rakyat bukan agama Islam dan pertubuhan bukan kerajaan terhadap seksyen itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan pertandingan akhir Debat Perpaduan 2013 antara Institut Pengajian Tinggi, di Auditorium Kompleks Pentadbiran Persekutuan, di sini, kelmarin.

Kurup diminta mengulas mengenai cadangan pindaan Seksyen 107 yang dibacakan pertama kali di Dewan Rakyat pada Rabu lepas, persetujuan salah seorang daripada ibu atau bapa memadai untuk menukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik sebagai berkata, cadangan untuk membenarkan salah seorang daripada ibu atau bapa untuk menukar agama anak di bawah umur kepada Islam adalah berdasarkan penghakiman Mahkamah Persekutuan dan peruntukan Perlembagaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan sedar dengan rungutan mengenai Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah- wilayah Persekutuan) 2013 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.


Sumber: New Sabah Times

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...