Thursday, June 6, 2013

Sandakan komited tangani isu alam sekitar

Posted by Smookiekins On 6/06/2013 03:24:00 PM
Bandar ini akan terus komited untuk menangani isu alam sekitar dengan memastikan sumber air, udara dan tanah dapat dipelihara.

Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk James Wong, menegaskan usaha seumpama ini penting bagi menjamin flora dan fauna mampu mengekalkan peranan sebagai penyerap karbon.

Di samping itu, katanya, kekayaan kawasan tadahan dengan lembangan sungainya serta kepelbagaian biologi yang unik di negeri ini sudah cukup mencerminkan keharmonian alam sekitar yang sentiasa terkawal daripada pencemaran.

“Sabah juga berbangga dengan eko-pelancongannya di mana pelancong datang ke negeri ini untuk melawat pusat perlindungan dan pemulihan Orang Utan di Sandakan serta menjelajahi hutan hujan khususnya Rainforest Discovery Centre atau RDC,” jelasnya.

Berucap menyempurnakan perasmian Program Rakan Sungai Segaliud sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2013 di Dewan Persidangan MPS, di sini, petang kelmarin beliau berkata isu alam sekitar merupakan masalah yang perlu ditangani semua pihak.

Menurutnya, sesiapa sahaja mempunyai peranan dalam usaha menangani masalah ini berpandukan tuntutan apatah lagi kehidupan yang mesra alam amat penting dalam kehidupan seharian manusia.

Namun begitu, tambah beliau, usaha menangani masalah pencemaran tidak harus menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi ia perlu dipikul bersama semua anggota masyarakat.

“Khususnya pihak industri sekiranya memainkan peranan dalam bentuk ‘Cooperate Social Responsibility Action Plan’ ... setiap lapisan masyarakat tidak kira sesiapa sahaja, kita hidup dalam lingkungan alam sekitar yang sama, menghirup udara yang sama, berkongsi menggunakan sumber asli yang sama.

“Jika bumi ini hancur bermakna hancurlah ‘Homo-Sapien atau manusia. Kita tidak boleh berpeluk tubuh membiarkan bumi menahan segala pencerobohan alam sekitar … kita mesti sama-sama memelihara alam sekitar demi kehidupan yang lebih baik di masa akan datang,” kata James.

Sejajar Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2013 yang bertemakan ‘Think Eat Save’, James mengajak semua pihak memberi komitmen dan kerjasama untuk sama-sama bertindak mengurangkan punca-punca yang membawa kepada kemusnahan.

Ini katanya, sekiranya cara hidup sihat diamalkan mengikut konsep ‘Think Eat Save’ alam akan menjadi lebih mesra kepada kita semua.

Bagaimanapun, katanya lagi, memandangkan manusia memerlukan kemajuan mereka sering lupa terhadap tindakan yang dilakukan sehingga mencemarkan keindahan alam sekitar.

“Sebenarnya, pencemaran air … udara atau bunyi boleh diatasi jika manusia sedar mengenai kepentingan alam sekitar.

“Kebanyakan pencemaran itu berpunca daripada aktiviti manusia, mereka membuang sampah ke dalam sungai sungai … hutan ditebang tanpa mengikut peraturan, pembalak meninggalkan hutan yang telah diusahakan tanpa usaha menanam semula dan ini mengakibatkan pencemaran air sungai.

“Kilang-kilang yang mengeluarkan asap serta pelepasan effluen yang tidak mematuhi standard juga mengakibatkan pencemaran udara dan air,” tegasnya.

Dia bangga kerana pihak MPS dan agensi-agensi lain dapat bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam mewujudkan program kesedaran untuk mencapai matlamat objektif program tersebut.

Terdahulu dari itu, Ketua Cawangan Jabatan Alam Sekitar Sandakan, Thamara Selvam a/l Vyapuri memberitahu Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar merangka program-program pemantauan kualiti air sungai termasuk Sungai Segaliud.

Katanya, program Rakan Sungai Segaliud adalah sebagai platform untuk masyarakat yang tinggal berhampiran sungai memainkan peranan sebagai pemberi maklumat agar pihak jabatan dapat bertindak segera.

“Program ini adalah usaha-usaha untuk meningkatkan kesedaran penjagaan sumber air sungai daripada pencemaran … ia penting yang mana dapat menggerakkan anggota masyarakat di setiap kawasan parlimen dalam aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta membantu membanteras sebarang kegiatan yang merosakkan dan mencemarkan alam sekitar,” jelasnya.


Sumber: New Sabah Times
Reactions:

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...