Thursday, June 6, 2013

'MILF, Manila tak terbabit'

Posted by Smookiekins On 6/06/2013 03:20:00 PM
Kejadian pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada awal Februari lalu, tiada kaitan dengan perjanjian damai yang dicapai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Mindanao.


Penasihat Presiden Filipina Bagi Proses Damai, Teresita Quintos Deles, berkata kejadian yang berlaku di Sabah itu dilakukan kumpulan yang mempunyai kepentingan sendiri. 

“Kedua-dua isu itu (kejadian pencerobohan pengganas Sulu di Sabah dan perjanjian damai) adalah dua perkara berbeza, ia tiada kaitan langsung.


Selesai di meja rundingan

“Tuntutan (pengganas Sulu) itu seharusnya boleh diselesaikan menerusi meja rundingan,” katanya ketika sesi soal jawab pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-27, di sini, semalam.

Beliau hadir sebagai panel jemputan pada persidangan tiga hari anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) bagi membincangkan mengenai hala tuju pelan damai, yang ditandatangani antara kerajaan Filipina dan MILF pada akhir tahun lalu.


Panel lain, termasuk Perantara Malays ia dalam perjanjian berkenaan, Datuk Tengku Ab Ghafar Tengku Mohamed dan Pengerusi MILF, Murad Ebrahim. 

Deles berkata, perjanjian damai itu berjaya menyelesaikan konflik agama, ekonomi dan politik membabitkan kedua-dua pihak sejak beberapa tahun lalu.


“Kami (kerajaan Filipina dan MILF) akan terus berusaha memastikan perjanjian yang dicapai itu berjaya demi manfaat kedua-dua belah pihak,” katanya.

Murad berkata, melalui perjanjian damai itu pihaknya akan mendapat hak autonomi politik dan ekonomi di wilayah berkenaan daripada kerajaan Filipina.


Dapat sokongan majoriti


“Ia bukan saja membabitkan kepentingan MILF, sebaliknya seluruh kumpulan dan komuniti yang berada di Mindanao. Perjanjian itu mendapat respon dan sokongan baik daripada majoriti masyarakat di sana,” katanya.

Katanya, MILF juga akan terus mengadakan rundingan bersama antara kumpulan Islam di wilayah berkenaan dalam usaha mengurangkan perkelahian dan mencari perpaduan antara mereka yang terbabit.
Tengku Ab Ghafar berkata, nilai kepercayaan tinggi antara kerajaan Filipina dan MILF menjadi kunci kejayaan kepada matlamat utama mewujudkan sebuah wilayah Bangsamoro yang berautonomi.

Ditanya sama ada Malaysia bersedia menjadi orang tengah dalam menyelesaikan isu di Rohingya di Myanmar, Tengku Ab Ghafar berkata, ia terserah kepada kesediaan kerajaan negara itu.


Sumber: Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...