Saturday, June 22, 2013

K'jaan negeri ambil perhatian serius implikasi GST

Posted by Smookiekins On 6/22/2013 10:30:00 PM
Kerejaan negeri mengambil perhatian serius terhadap kemungkinan-kemungkinan implikasi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas negeri dan rakyat di negeri ini, kata Pembantu Menteri Kewangan Datuk Ramlee Marhaban.

Sehubungan itu katanya kerajaan negeri telah mengutarakan beberapa pendapat mengenai isu tersebut dalam beberapa siri forum berkaitan.

Di samping itu katanya, kerajaan juga telah menyampaikan maklum balas dan cadangan tersebut secara bertulis kepada Unit Panel Kajian Semula Cukai, Kementerian Kewangan Malaysia bagi menjaga kepentingan negeri dan rakyat Sabah

“Kerajaan negeri yakin kerajaan persekutuan mengambil kira semua aspek mengenai GST dengan teliti sebelum ia dilaksanakan agar pelaksanaannya kelak akan memberi manfaat kepada negara dan seluruh rakyat,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas Wong Hong Jun pada sesi soal jawab, persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, kelmarin.

Adun Likas bertanya adakah kerajaan negeri setuju untuk kadar cukai 7 peratus dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan di negeri Sabah dilaksanakan pada tahun.

Ramlee berkata, kerajaan persekutuan telah mengumumkan baru-baru ini bahawa kerajaan persekutuan tidak akan melaksanakanGST dalam tempoh masa terdekat.

“Pada masa ini, kerajaan masih lagi mengkaji implikasi-implikasi dan kadar bersesuaian yang akan dikenakan,” katanya.

Katanya, GST dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di setiap peringkat pengeluaran dan pengedaran dalam rantaian pembakalan termasuk barang dan perkhidmatan yang diimport. Walaupun GST dikenakan di setiap peringkat rantaian bekalan, elemen cukai tidak menjadi sebahagian daripada kos produk kerana cukai input tersebut boleh ditolak oleh perniagaan di langkah seterusnya dalam rangkaian bekalan.

Bagaimanapun katanya beberapa makanan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, sayuran, ikan dan daging ternakan, telur dan kemudahan perkhidmatan asas seperti kesihatan dan pendidikan swasta, pengangkutan awam, rumah kediaman dan tanah pertanian tidak dikenakan GST.
“Pengecualian ini bertujuan untuk memastikan golongan berpendapatan rendah tidak dibebankan dengan GST,” katanya.



Sumber: New Sabah Times

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...