Monday, June 24, 2013

Jerebu kembali lagi, Sabah masih di paras sederhana

Posted by Smookiekins On 6/24/2013 05:31:00 PM
Jerebu kembali lagi dan kali ini pencemaran udara akibat pembakaran ladang dan hutan di Sumatera, Indonesia yang dibawa angin monsun barat daya lebih buruk daripada sebelum ini. 

Ratusan sekolah di Johor terpaksa ditutup serta-merta apabila jerebu mencapai tahap berbahaya. Di negeri lain di Semenanjung bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) juga semakin meningkat dengan banyak kawasan dilitupi jerebu.

Bacaan IPU untuk Sabah di sekitar Kota Kinabalu sebanyak 75. 


Setakat ini di Sabah belum ada sekolah ditutup akibat jerebu, Pengarah Pelajaran Negeri Sabah, Jame Alip berkata sehingga ke hari ini belum ada sekolah di Sabah ditutup. Keadaan jerebu di Sabah masih dalam keadaan baik berdasarkan bacaan IPU. 

Kementerian negeri telah menerima surat daripada Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu langkah-langkah Kementerian Pendidikan untuk menjamin kesihatan dan keselamatan pelajar di sekolah yang berada dalam keadaan berjerebu dan dianggap kritikal. 

Sekiranya bacaan IPU melebihi 250, sekolah yang terjejas akibat jerebu harus menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah. 

Bacaan Indeks Pencemaran Udara:

0 - 50: Baik
51 - 100: Sederhana
101 - 200: Tidak Sihat
201 - 300: Sangat Tidak Sihat
300 keatas: Berbahaya

Jerebu sudah menjadi masalah di rantau ini sejak 1982. Pada 1998, keadaan jerebu sangat buruk sehingga menjejaskan Malaysia, Singapura, Brunei dan Thailand. 

Negara anggota ASEAN perlu saling membantu dalam semangat kerjasama untuk menangani masalah jerebu dan isu kualiti udara ketika ini. 

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel akan ke Indonesia Rabu ini untuk mengadakan perjumpaan dengan pegawai republik itu serta membincangkan cara menyelesaikan masalah jerebu. 

Malaysia akan menawarkan bantuan kepada Indonesia termasuk pembenihan awan dalam usaha memadamkan kebakaran di Sumatera yang menyebabkan jerebu teruk. Perjumpaan itu adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan masalah jerebu di negara ini memandangkan punca utama ialah kebakaran hutan di negara terbabit. 

Malaysia tidak boleh melangkaui undang-undang sesebuah negara dalam mengambil sebarang tindakan, selain Indonesia juga adalah satu-satu negara yang tidak menandatangani Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2002. 

Laporan ASEAN Specialised Meteorological  Centre (ASMC) menunjukkan pergerakan asap jerebu tebal dari wilayah Riau di Sumatera Tengah dibawa angin barat daya ke Pantai Barat hingga merentasi Pantai Timur Semenanjung. 




~ Smookiekins

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...