Friday, June 21, 2013

DUN lulus pindaan Enakmen Hutan 1984

Posted by Smookiekins On 6/21/2013 02:47:00 PM
Dewan Undangan Negeri di sini, kelmarin meluluskan pindaan Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) 1984 untuk membubarkan, menubuhkan, dan mengelaskan semula Hutan-Hutan Simpan di beberapa kawasan di negeri ini.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Elron Angin ketika membentangkan Rang Undang-Undang Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) (Pindaan) 2013 berkata, kerajaan bercadang untuk membubarkan dua kawasan hutan simpan iaitu, Hutan Simpan Wullerdorf dengan keluasan 720 hektar dan Hutan Simpan ulu Kalumpang Kelas I dengan keluasan 228 untuk tujuan pembangunan sosio-ekonomi.

Beliau berkata, kedua-dua hutan simpan itu yang terletak dalam daerah Kunak dikeluarkan kerana ia didapati terjejas dan telah dicerobohi.

“Sebagai ganti kepada dua kawasan Hutan Simpan yang dibubarkan, seluas 6,429 hektar kawasan Hutan Menumbok akan diwartakan sebagai Hutan Simpan Bakau Kelas V,” katanya.

Elron berkata, kawasan Hutan Simpan yang akan dikelaskan semula kepada Hutan Simpan Perlindungan Kelas I ialah Hutan Simpan Malua Kelas II seluas 33,969 hektar yang dinamakan sebagai Hutan Simpan Malua Kelas I.

“Kawasan ini penting sebagai Bank Genetik, kawasan projek Malua Bio-Bank dan merupakan habitat untuk Orang Utan,” katanya.

Elron berkata Hutan Simpan Gunung Rara Kelas II seluas 6,665 hektar akan dikelaskan semula kepada Hutan Simpan Perlindungan Kelas I dan dinamakan sebagai Hutan Simpan Mount Magdalena Kelas I (Tambahan). Kawasan Hutan Simpan Gunung Rara ini mempunyai nilai konservasi yang tinggi.

Katanya lagi, seluas 3,265 hektar Hutan Simpan Gn.Rara Kelas II dan seluas 19,870 hektar Hutan Simpan Kalabakan Kelas II akan dikelaskan semula sebagai Hutan Simpan Perlindungan Kelas I dan masing-masing dinamakan sebagai Hutan Simpan Tambulanan Kelas I dan Hutan Simpan Sungai Tiagau Kelas I.

“Kawasan itu mempunyai nilai konservasi yang tinggi dan penampan bagi Maliau Basin,” katanya.

Seluas 6,429 hektar Hutan Menumbok akan dikelaskan sebagai Hutan Simpan Bakau Kelas V dan dinamakan sebagai Hutan Simpan Menumbok Kelas V (Tambahan II). Kawasan ini sesuai untuk penyelidikan, pendidikan, konservasi flora dan fauna dan perlindungan hidupan laut.

Elron berkata, pengkelasan semula Hutan Simpan-Hutan Simpan berkenaan adalah antaranya bertujuan untuk melindungi hutan, memelihara dan mengekalkan kawasan- kawasan cadangan yang mempunyai kekayaan biodiversity yang tinggi dan mewujudkan koridor hidupan liar yang menghubungkan Hutan Simpan Lembah Danum, Hutan Simpan Maliau dan Hutan Simpan Imbak Canyon.

Katanya lagi, kerajaan negeri kini mempunyai hutan simpan seluas 3,614,730.55 hektar iaitu pertambahan sebanyak 5,481 hektar.

“Keluasan hutan simpan ini merangkumi 48.28 peratus daripada keluasan negeri Sabah. dengan keluasan ini, peratusan liputan hutan negeri Sabah terus meningkat kepada 52 peratus melebihi kehendak Dasar Perhutanan Negara yang mensasarkan 48 peratus daripada keluasan sesebuah negeri,” katanya.


Sumber: New Sabah Times

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...