Monday, January 21, 2013

Kebersihan Bandaraya Kota Kinabalu tanggungjawab semua pihak

Posted by Smookiekins On 1/21/2013 05:01:00 PM

Kerjasama dan sokongan padu semua pihak khususnya penghuni bandaraya amat penting untuk memastikan Bandaraya Kota Kinabalu sentiasa bersih dan hijau, kata Mayor Bandaraya, Datuk Abidin Madingkir.

Beliau berkata kerjasama itu penting bagi membantu bandaraya mencapai matlamat menjadi bandaraya hijau dan paling sesuai didiami.

“Masalah berkaitan alam sekitar tidak boleh diselesaikan oleh satu pihak iaitu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sahaja, sebaliknya ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

“Hanya melalui kerjasama setiap orang khususnya penghuni di bandaraya, kita dapat mengwujudkan persekitaran yang lebih sihat seterusnya membawa bandaraya ini sebagai bandaraya hijau dan yang paling sesuai didiami di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya sempena “The Rotaract Green Environment Program” bertemakan Bandaraya Hijau dan Sesuai Didiami, di Dewan Mesyuarat, DBKK, di sini, kelmarin.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Joannes Solidau.

Turut hadir Presiden Rotaract Club Kota Kinabalu Randy Wong, Presiden Rotaract Club Universiti Malaysia Sabah (UMS) Nicholas Tay dan Presiden Rotaract Club Likas Kelvin En.
Forum itu disertai kira-kira 30 pelajar Maktab Sabah.

Abidin berkata persekitaran yang sihat juga akan memberi manfaat kepada penduduk kerana ia bermakna kualiti hidup akan menjadi lebih baik.

“Saya percaya pemilihan tajuk “Bandaraya Hijau dan Sesuai Didiami” selaras dengan agenda 5K Bandaraya iaitu Kebersihan, Keindahan, Keselamatan, Keteraturan dan Kesejahtearan.

“Forum ini yang diusahakan oleh Rotaracts Club menunjukkan kita semua begitu prihatin terhadap bandaraya dan alam sekitarnya,” katanya.

Beliau berharap forum seumpama itu akan menggalakkan golongan muda khususnya di kawasan bandaraya untuk bergiat aktif dalam menangani isu-isu alam sekitar.

Katanya, antara aktiviti yang dilaksanakan dalam program ini ialah forum Celik Hijau, kesedaran kepada para pelajar sekolah dan kempen kesedaran untuk orang awam.

“Saya yakin kempen ini termasuk penanaman pokok dan pameran projek kitar semula akan membantu meningkatkan lagi kesedaran golongan muda agar lebih ramai menyertai program ini pada masa akan datang,” katanya.

Abidin percaya forum dan aktiviti seumpama ini akan dapat meningkatkan lagi kesedaran dan minat golongan muda untuk melibatkan diri dalam program berkaitan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Projek pilot Rotaract Club ‘Green Environment Friendship’, tepat pada masanya untuk kita menunjukkan kepada golongan muda mengenai keprihatinan melindungi alam sekiar,” katanya.



Sumber: New Sabah Times
Reactions:

7 comments:

  1. Tahap kebersihan bandar raya Kota Kinabalu dilihat mencapai status lebih baik sejak Kempen Anti Kutu Sampah anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dilancarkan secara besar-besaran pada 2008.

    ReplyDelete
  2. Datuk Abidin Madingkir berkata, secara keseluruhan banyak kawasan sekitar ibu negeri itu telah bertukar menjadi sebuah kawasan bebas sampah, lebih teratur dan berada dalam keadaan cantik.

    ReplyDelete
  3. Menerusi strategi mewujudkan Zon Tanpa Sampah yang melibatkan penyertaan daripada pelbagai premis perniagaan, bangunan, institut pengajian tinggi dan rumah ibadat di sini merancakkan lagi usaha DBKK menjadikan Kota Kinabalu destinasi pelancongan terkemuka negara.

    ReplyDelete
  4. Bukan mudah melaksanakan tugas memastikan kebersihan di bandar raya dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa jika tidak mendapat kerjasama erat daripada pelbagai pihak.

    ReplyDelete
  5. Mengubah mentaliti masyarakat bagi membudayakan amalan menjaga kebersihan bukan satu perkara yang mudah, meskipun pelbagai kempen dilakukan oleh DBKK dan pihak berkuasa tempatan.

    ReplyDelete
  6. Tindakan mengenakan kompaun serta merta terhadap pesalah yang membuang sampah merata-rata turut dilaksanakan bagi memastikan usaha komprehensif DBKK menjaga kebersihan bandar raya ini dapat dipertingkatkan.

    ReplyDelete
  7. bersama kita menjaga bandaraya kita.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...