Monday, April 1, 2013

YS rancang jadikan KUYS pusat kecemerlangan ilmu

Posted by Smookiekins On 4/01/2013 02:19:00 PM

PUTATAN: Yayasan Sabah merancang untuk menjadikan Kolej Universiti Yayasan Sabah (KUYS) sebagai pusat kecemerlangan ilmu di rantau ini khususnya di Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA).

Pengarahnya Tan Sri Datu Khalil Datu Jamalul, berkata ia bertujuan memberi peluang yang lebih luas kepada anak-anak tempatan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi selain menarik para pelajar dari negeri-negeri lain di negara ini datang belajar di KUYS.

“Dalam tempoh terdekat ini, Kumpulan Yayasan Sabah telah menyusun rancangan untuk menyediakan Kolej Universiti Yayasan Sabah,” katanya ketika berucap pada Roadshow Yayasan Sabah Bersama Rakyat – Program Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah Peringkat Zon Pantai Barat Selatan, di Dewan Serbaguna Putatan, di sini, kelmarin.

Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin, pembantu-pembantu menteri dan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

Khalil berkata Kolej Yayasan Sabah (KYS) adalah kolej milikpenuh Kumpulan Yayasan Sabah, kini memiliki dua kampus utama iaitu Kampus Bandaraya di Sembulan dan Kampus Likas.

“Setakat ini seramai 2,155 siswa berdaftar di kolej tersebut dalam peringkat sijil dan diploma. Antara kursus diploma KYS ialah Diploma Teknologi Automotif, Diploma Teknologi Binaan Bangunan dan Diploma Teknologi Maklumat.

“Manakala kursus peringkat sijil pula ialah Sijil Kewartawanan, Sijil Keusahawanan dan Sijil Operasi Perhotelan,” katanya.

Katanya lagi di samping itu kursus diploma dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia yang ditawarkan pula ialah Diploma Pengurusan Teknologi, Diploma Pengurusan Teknologi Perakaunan, Diploma Pengurusan Hartanah dan Diploma Sains Komputer.

“Beberapa kursus lain turut dijalankan seperti kursus Latihan Kemahiran Kraftangan Batik yang melibatkan kursus-kursus kecil pelbagai bidang antaranya batik kimia, batik alam dan batik cop,” katanya.

Khalil berkata, selari dengan dasar transformasi negara, pihak Kumpulan Yayasan Sabah juga telah mengambil pendekatan strategik dengan memperkenal dan melaksanakan program transformasi yang berpaksi kepada tiga program teras iaitu Program Desa Cemerlang dan Berinovasi (PDCB), Program Kraftangan dan Sabah International Convention Centre (SICC).

“Program PDCB adalah kesinambungan kepada usaha membangunkan masyarakat luar bandar secara berpusat di sesebuah kampung.

“Program ini sedang dijalankan di enam buah kampung iaitu Kampung Sebait Sungai Padas Sandakan, Kg. Singgaron Baru Ranau, Kg Pandasan Kota Belud, Kg.Sinaron Sook Keningau, Kg.Lormalong Kunak dan Kg.Lambidan Kuala Penyu,” katanya.

Manakala Program Kraftangan di Pusat Kraftangan Sabah (PKS) pula ialah untuk mengembangkan kraf batik bermotifkan tempatan dengan kerjasama pereka batik bertaraf dunia untuk mendapatkan rekabentuk batik yang berkualiti tinggi dan berorentasikan pasaran dunia.

“Setakat ini Kumpulan Yayasan Sabah melalui pejabat-pejabat zon dan PKS telah melatih seramai 15,000 belia dalam industri ini,” katanya.

Khalil berkata, SICC adalah sebuah projek yang bakal menjadi enjin pertumbuhan ekonomi pelancongan negeri ini kelak.

“Dalam hal ini, kerajaan persekutuan telah menyediakan dana berjumlah RM250 juta dan kerajaan negeri menyediakan tapak untuk projek ini,” katanya.

Beliau berharap Halatuju Kumpulan Yayasan Sabah 2013-2023 dapat memperkasakan lagi rakyat di negeri ini di samping melonjakkan perkembangan ekonomi negeri.

Mengenai program mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat di negeri ini Khalil berkata Kumpulan Yayasan Sabah giat menjalankan pelbagai usaha itu bagi menokok tambah usaha-usaha kerajaan negeri dan persekutuan dalam bidng pendidikan, latihan kemahiran, keusahawanan, pengurangan kadar kemiskinan dan bantuan kebajikan.

“Penglibatan Kumpulan Yayasan Sabah dalam membangunkan rakyat mencerminkan keprihatinan serta komitmen organisasi ini menjiwai permasalahan rakyat khususnya di luar bandar,” katanya.

Berkenaan dengan program Road Show itu, beliau berkata ia dilaksanakan di enam zon, bermula di Kudat pada 23 Mac lalu, disusuli Sandakan (24 Mac), Ranau (27 Mac), Putatan (hari ini), Tawau (7 April), Keningau (13 April ) dan Beaufort.
 
Sumber : New Sabah Times 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...