Monday, April 1, 2013


KUALA LUMPUR: Usaha berterusan oleh pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam jangka masa lima tahun ini telah menghasilkan banyak cerita-cerita kejayaan.

Ketika beberapa ekonomi masih bergelut dengan hutang negara dan peningkatan angka pengangguran, Malaysia masih kelihatan meningkat dengan rentak yang kukuh dan berharmoni.

Salah satu daripada faktor yang tidak boleh diketepikan ialah peningkatan pendapatan isi rumah didorong oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semenjak 2009, disokong oleh perancangan ekonomi yang menyeluruh.

“Jika Malaysia boleh mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang memuaskan ini, ia mungkin melihat lebih peningkatan pada pendapatan isi rumah,” kata Ketua Pakar Ekonomi Malaysian Rating Corp Bhd (MARC), Nor Zahidi Alias.

“Kenaikan tahunan 7.2 peratus pada purata pendapatan bulanan isi rumah negara adalah menggalakkan memandangkan kadar inflasi yang meningkat pada purata 2.2 peratus setahun pada asas Kadar Pertumbuhan Tahunan Kumulatif (CAGR).

“Harga makanan meningkat 3.3 peratus setahun sementara kos pengangkutan naik 2.3 peratus setahun pada tempoh yang sama.

“Jadi, peningkatan pada pendapatan isi rumah telah pada umumnya mendahului peningkatan kos barangan dan perkhidmatan yang digunakan isi rumah,” kata Nor Zahidi kepada Bernama.

Kajian Pendapatan Isi Rumah 2012 baru-baru ini mendapati pendapatan bulanan purata isi rumah Malaysia meningkat daripada RM4,025 pada 2009 kepada RM5,000 pada 2012, satu peningkatan 7.2 peratus setahun.

Pendapatan isi rumah bandar meningkat pada kadar 6.6 peratus setahun daripada RM4,705 pada 2009 kepada RM5,742 tahun lepas, sementara pendapatan bulanan isi rumah luar bandar naik 6.4 peratus setahun daripada RM2,545 kepada RM3,080.

“Itu adalah bahagian positifnya. Tambahan lagi, di bandar-bandar utama seperti di Kuala Lumpur, pendapatan isi rumah naik pada kadar yang lebih pantas iaitu 14.9 peratus dan ini membantu mengimbangkan peningkatan harga barangan yang lebih tinggi di pusat-pusat bandar,” katanya.

Nor Zahidi menyatakan bahawa antara faktor utama yang menjelaskan peningkatan pada pendapatan isi rumah ialah pertumbuhan ekonomi yang kukuh seperti yang dibuktikan oleh pertumbuhan KDNK sepanjang beberapa tahun lepas.

Faktor lain adalah pasaran pekerjaan yang menggalakkan dengan kadar pengangguran pada tiga peratus dan usaha kerajaan seperti Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan yang mencipta peluang pekerjaan dan perniagaan untuk mereka yang tidak bekerja, katanya.

Menurut kajian itu, semua negeri turut mencatatkan pendapatan bulanan purata yang lebih baik dengan Kuala Lumpur mendahului dengan peningkatan tertinggi iaitu 14.9 peratus daripada RM5,488 kepada RM8,586.

Ini diikuti Labuan dengan 12 peratus daripada RM4,407 kepada RM6,317, Perlis dengan 10.1 peratus daripada RM2,617 kepada RM3,538, Terengganu 9.1 peratus daripada RM3,017 kepada RM3,967, dan Negeri Sembilan dan Sabah masing-masing daripada RM3,540 kepada RM4,576 dan daripada RM3,102 kepada RM4,013.

Mengikut pecahan etnik, kaum India mencatatkan peningkatan tertinggi dalam pendapatan isi rumah pada sembilan peratus daripada RM3,999 kepada RM5,233, diikuti Cina pada 8 peratus daripada RM5,011 kepada RM6,366 dan Bumiputera, 6.9 peratus daripada RM3,624 kepada RM4,457.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Persendirian Negara UOB Malaysia Kevin Lam, berkata bank itu mendapati peningkatan pendapatan pelanggan adalah amat kukuh.

“Dalam ekonomi yang membangun, tentunya ada keperluan untuk berbelanja, keperluan untuk membuat pinjaman untuk membiaya perbelanjaan bijak.

“Memandangkan pendapatan isi rumah yang lebih tinggi akan mendorong kepada hutang isi rumah yang lebih tinggi, pengguna patut berbelanja mengikut kemampuan mereka. Mereka harus ada sasaran untuk membelanjakan jumlah itu dan mempunyai kemampuan untuk membayar semula jumlah itu.
 
Sumber : New Sabah Times 

1 comment:

  1. What's Happening i'm new to this, I stumbled upon this I've discovered It positively useful and it has aided me out loads. I'm hoping to
    contribute & assist different users like its helped me.

    Good job.

    My webpage; ntua.gr

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...