Monday, December 10, 2012

Media bantu kerajaan promosi program untuk rakyat

Posted by Smookiekins On 12/10/2012 01:22:00 PM

Pengamal media di negeri ini bertanggungjawab melaporkan perancangan dan dasar-dasar kerajaan bagi membantu mempromosi program-program tersebut untuk tatapan rakyat.

Exco Penerangan Negeri Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata, ini penting kerana pada hari ini terlalu banyak propaganda pihak berkenaan menerusi saluran tertentu untuk memburuk-burukkan kerajaan.

“Oleh itu peranan kita sebagai pengamal media ialah membetulkan keadaan yang berlaku dalam negara kita.

“Jika kita berkehendakkan negara kita maju pada tahun 2020 kita semua mesti ambil peranan kerana kita adalah rakyat Malaysia yang merdeka dan menyokong dasar kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis Malam Mesra Media anjuran Jabatan Penerangan Sabah di Hotel Ming Garden, di sini, pada malam Jumaat.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Sabah Alamin Ajirul, ketua-ketua biro, ketua-ketua editor dan pengamal media massa dan elektronik.

Sapawi yang juga Ahli Parlimen Sipitang berkata, dalam situasi negara menghampiri pilihan raya, rakyat amat memerlukan maklumat yang tepat untuk terus menyokong kerajaan.

“Terlalu banyak program yang telah dirancang oleh kerajaan untuk rakyat. Dalam hal ini saya berharap warga kerja media dapat membantu melaporkannya untuk pengetahuan rakyat,” katanya.

Beliau berkata sejak negara ini mencapai kemerdekaan, banyak kecemerlangan telah dicapai di bawah mandat perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional (BN).

“Saya percaya tiada kuasa politik yang paling sempurna diamalkan di negara lain berbanding apa yang diamalkan oleh Malaysia. Hasil kejayaan ini menyebabkan banyak negara luar ingin berkongsi pengalaman dengan Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu katanya, selain berperanan menjamin kesejahteraan warga Malaysia, pengamal media juga bertanggungjawab menyebarkan dan memberitahu rakyat sumbangan kerajaan kepada mereka.

Sapawi turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memperuntukkan negeri Sabah melebihi RM20 bilion dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

“Ia adalah peruntukan yang begitu besar untuk pembangunan negeri Sabah. kita akan menjadi negeri maju dalam masa terdekat sebagaimana yang diilhamkan oleh Ketua Menteri Sabah,” katanya.

Beliau berkata dalam RMK-10, kerajaan terus memberi tumpuan terhadap program pembasmian kemiskinan selain meneruskan program peningkatkan pendapatan dan penyediaan bantuan perumahan, pendidikan, kesihatan, kemudahan sosial dan pengangkutan.

“Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) berjaya melonjakkan ekonomi negara kita melebihi lima peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2012.

“Ini membuktikan bahawa kerajaan bersungguh-sungguh merealisasikan Wawasan 2020 dalam masa lapan tahun lagi,” katanya.

Katanya lagi, dalam laporan Kementerian Kewangan baru-baru ini, mengumumkan pendapatan perkapita negara menjelang tahun 2018 akan mencapai RM15,000 sebulan.

“Ini menunjukkan kerajan mempunyai komitmen tinggi untuk membantu rakyat,” katanya.


Sumber: New Sabah Times
Reactions:

3 comments:

  1. media memainkan peranan penting dalam memberi imej baik pada kerajaan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Media semakin canggih dengan menggunakan media untuk menyalurkan perancangan kerajaan pasti segera sampai ke rakyat

      Delete
  2. Usaha2 dan perancangan kerajaan perlu diwar-war untuk pengetahuan umum

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...