Friday, April 5, 2013



4th April, 2013

PUTRAJAYA: Seramai 14,257 calon dilantik mengisi pelbagai jawatan tetap dan kontrak dalam perkhidmatan awam sejak Januari hingga Mac lalu, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam.


Katanya daripada jumlah itu, 7,043 dilantik sebagai petugas tetap manakala 7,214 petugas bertaraf kontrak.


Beliau berkata SPA menerima lebih 1.4 juta permohonan bagi jawatan tetap dengan pecahan masing-masing 1.1 juta Melayu, Cina (24,491), India (44,380), bumiputera Sabah dan Sarawak (218,622) serta kaum lain (27,008).


“Ia merupakan angka tertinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini. Ini jelas bahawa ramai belia terutamanya kaum Cina dan India menunjukkan minat bekerja dalam sektor awam yang bukan sahaja menjanjikan pelbagai kemudahan, bahkan gaji yang lebih baik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat dengan kementerian, jabatan dan pentadbiran negeri, di sini kelmarin.


Mahmood Adam berkata dengan pengisian itu masih terdapat 66,185 jawatan kosong yang belum disisi sebelum hujung tahun ini daripada jumlah keseluruhan 80,442 jawatan yang ditawarkan.


Katanya, mesyuarat hari ini juga meluluskan pengesahan jawatan bagi 4,622 penjawat awam, pemberian taraf pencen kepada 4,029 petugas, pelanjutan tempoh percubaan kepada 471 orang dan penamatan perkhidmatan terhadap 55 petugas.


Turut diputuskan ialah 24 kes tindakan tatatertib, 237 kes rayuan tatatertib dan 21 kes rayuan naik pangkat.


Menurut Mahmood pada 13 April ini, SPA akan mengadakan peperiksaan khas memasuki skim perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) gred M41 melibatkan seramai 61,853 calon.


Seramai 3,404 calon dikecualikan daripada menduduki peperiksaan khas itu, katanya.


Sementara itu, katanya SPA turut membantu waris parajurit yang terkorban dalam insiden pencerohan pengganas di Lahad Datu dengan memberi laluan kerjaya ke dalam perkhidmatan awam.


“SPA juga membantu memudahkan urusan pertukaran, pelantikan dan pertukaran perkhidmatan waris,” katanya sambil menambah kutipan derma untuk Tabung Wira Lahad Datu turut dijalankan.


Sumber : New Sabah Times 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...