Thursday, April 4, 2013

K'jaan akan ambil kira kepentingan rakyat : Musa

Posted by Smookiekins On 4/04/2013 11:06:00 AM

KOTA KINABALU: Kerajaan akan mengambil kira kepentingan dan kebajikan rakyat dalam membuat sebarang keputusan penempatan semula penduduk-penduduk tertentu yang terlibat dalam insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata, pandangan daripada Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Komuniti akan diambil kira bagi memastikan keputusan untuk penempatan semula itu dapat diusahakan dengan baik demi kepentingan rakyat.

Apa yang penting katanya semua lapisan rakyat perlu terus memberikan kerjasama, komitmen dan sokongan padu kepada usaha-usaha kerajaan dalam memastikan keamanan, keselamatan dan kedaulatan negara serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Sebagai pengerusi Jawatankuasa ESSZONE, saya akan memastikan kebajikan setiap penduduk yang terjejas di kawasan terlibat diberikan perhatian sewajarnya.

“Salah satu inisiatif yang akan diambil dalam masa terdekat adalah penempatan semula penduduk-penduduk tertentu ke suatu kawasan baru yang akan diputuskan oleh kerajaan.

“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin, saya ingin tekankan bahawa sebarang keputusan berhubung penempatan semula akan mengambil kira kepentingan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan “Political Transformation: Sabah Security & Esszone”, di Magellan Sutera Resort, di sini, kelmarin.

Turut hadir Peguam Negara Malaysia Tan Sri Abdul Gani Patail dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Dato Sri Khalid Abu Bakar, timbalan-timbalan ketua menteri dan menteri-menteri Kabinet.

Sebelum ini, dilaporkan pasukan keselamatan memutuskan bahawa Kampung Tanduo Lahad Datu yang menjadi lokasi pendaratan kumpulan penceroboh pengganas Sulu akan ditutup dan tidak lagi menjadi kawasan penempatan penduduk.

Musa berkata, dalam membuat keputusan berhubung keselamatan dan kedaulatan negara, kerajaan sentiasa memperhalusi semua perkara dengan teliti.

“Setiap keputusan yang diambil berdasarkan pertimbangan fakta-fakta yang jelas dan diputuskan atas kepentingan negara,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) adalah satu langkah pragmatik bagi memperkukuhkan keselamatan negara dan semangat perpaduan rakyat terutamanya di kawasan Sabah Timur.

Katanya, ESSZONE yang digazetkan di bawah Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Awam 1962 meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. Ia akan ditabir mengikut keadaan yang telah diperuntukkan dalam Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013.

Mengenai persidangan itu Musa berkata, ia adalah untuk membincangkan isu keselamatan terutamanya ESSZONE dan memastikan rakyat diberikan maklumat yang tepat terutamanya dalam hal yang melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

“Kita amat bersyukur dengan nikmat keamanan dan kemakmuran, pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik dalam sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

“Bagaimanapun sejak kemerdekaan sehingga hari ini, negara dan rakyat telah melalui beberapa ujian dan cabaran berkaitan keselamatan dan kedaulatan negara, termasuklah insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna serta ancaman keselamatan khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan penceroboh bersenjata itu menuntut kepentingan dan hak ke atas Sabah. “Sebenarnya, tuntutan mereka adalah tidak berasas sama sekali kerana Sabah telah menjadi sebahagian daripada Malaysia pada 16 Sept 1963”.

“Malah kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia adalah berlandaskan oleh fakta-fakta sejarah yang jelas dan bukti-bukti dokumen yang kukuh,” katanya.

Pada majlis itu Musa turut melancarkan buku bertajuk “Putting to Rest the Claim to Sabah by The Self-Proclaimed Sultanate of Sulu” hasil tulisan Abdul Gani.

Ketua Menteri menghargai usaha menghasilkan buku itu yang boleh dijadikan sebagai bahan rujukan berhubung semua persoalan perundangan berkaitan tuntutan pencerobohan ke atas negeri ini.

Bercakap kepada pemberita kemudian Musa berkata, persidangan itu adalah untuk memberikan penerangan mengenai ESSZONE dan fungsinya untuk menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat khususnya di Pantai Timur Sabah.

“Ramai yang datang untuk menghadiri program ini. Ia menunjukkan bahawa kita di Sabah amat peka terhadap sesuatu isu dan sentiasa ingin mengetahui apa yang berlaku di negeri ini,” katanya.

Sumber : New Sabah Times 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...