SIDANG MEDIA... Musa bercakap pada sidang media bersama beberapa menteri Kabinet dan Adun yang hadir pada pengumuman itu.
KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubar kelmarin bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman membuat pengumuman itu pada sidang akhbar kira-kira pukul 4.00 petang di kediaman rasmi Ketua Menteri Sri Gaya di sini, kelmarin.
“Pada hari ini, saya telah menghadap Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana Negeri, untuk menyembahkan surat dan memohon perkenan TYT Tun bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah. Ini adalah selaras dengan peruntukan di bawah Fasal (2) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sabah.
“Setelah lima tahun kita berbakti, berkhidmat dan mengabadikan diri kepada perjuangan membela nasib rakyat dan memajukan negeri Sabah, kini tibalah masanya kita menyerahkan kembali mandat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di kediaman rasmi Ketua Menteri Sri Gaya, di sini, kelmarin.
Sebelum itu Musa menemui Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri untuk mendapatkan persetujuan bagi pembubaran itu.
Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berharap, pilihan raya umum ke-13 khususnya di negeri ini akan berlangsung dalam suasana aman, teratur dan lancar mengikut lunas-lunas perlembagaan dan proses demokrasi.
“Saya juga menyambut baik jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya rakyat Sabah khususnya di kawasan Pantai Timur keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi tanpa perlu berasa bimbang akan tahap keselamatan mereka,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama, sokongan dan komitmen yang tinggi kepada kerajaan negeri dalam menjayakan agenda pembangunan untuk kesejahteraan rakyat pada keseluruhannya.
“Semoga kerjasama, sokongan, komitmen dan kepercayaan akan terus diberikan kepada kerajaan BN menerusi mandat yang besar dalam pilihan raya akan datang demi menjamin kesinambungan untuk kesejahteraan kita dan generasi akan datang,” katanya.
Pada pilihan raya 2008, BN memenangi 24 kerusi Parlimen dan 59 DUN, hanya tewas kepada DAP di Parlimen Kota Kinabalu dan kerusi DUN Sri Tanjung. Bagaimanapun lanskap politik Sabah berubah apabila Parti Maju Sabah (SAPP) dan beberapa anggota Parlimen dan DUN beralih hala tuju politik.
Umno Sabah kini mempunyai 12 anggota Parlimen, Parti Bersatu Sabah (PBS) tiga, Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) tiga, Parti Liberal Demoraktik (LDP) satu, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) satu dan Bebas (dua), SAPP (dua) dan DAP (satu).
Kedudukan terkini DUN pula menyaksikan Umno menguasai dengan 31 kerusi, PBS (12), Upko (enam), LDP (dua), PBRS (satu) dan Gerakan (tiga) dan MCA (satu), SAPP (tiga), DAP (satu).
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Salleh Tun Said, timbalan-timbalan ketua menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Datuk Seri Yahya Hussin dan Datuk Dr, Yee Moh Chai dan semua pemimpin parti-parti komponen BN.
Sumber : New Sabah Times
0 comments:
Post a Comment