Wednesday, April 3, 2013

90 peratus agensi Sabah disasar perolehi status lima bintang - Maznah

Posted by Smookiekins On 4/03/2013 11:59:00 AM


KOTA KINABALU: Sebagai negeri yang menerajui pelaksanaan sistem penarafan bintang (SSR), sekurang-kurangnya 90 peratus agensi di Sabah disasarkan memperolehi status lima bintang.

Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Maznah Abd. Ghani, selain berupaya meningkatkan imej jabatan selaku organisasi cemerlang, organisasi yang memperolehi lima bintang juga akan menjadi rujukan untuk ditanda aras oleh jabatan dan organisasi lain.

“Jika lebih banyak jabatan negeri memperolehi status lima bintang sudah tentu akan meningkatkan lagi daya saing perkhidmatan awam negeri,” kata Maznah ketika berucap semasa merasmikan Bengkel Khusus Persediaan Penilaian SSR, di Hyatt Regency Hotel, di sini, kelmarin.

Oleh itu katanya, sememangnya akan berlaku kesan rantaian sekiranya jabatan dapat mencapai status lima bintang serta diiktiraf oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Katanya, dengan menetapkan sasaran lima bintang, sekurang-kurangnya sasaran itu disusuli dengan usaha yang tinggi dan jitu oleh semua warga jabatan.

Mengulas mengenai Bengkel Khusus Persediaan Penilaian SSR yang diadakan selama dua hari bermula kelmarin, Maznah berkata Bengkel tersebut diadakan bagi meneliti persediaan 10 Jabatan Negeri yang terlibat dalam penilaian SSR yang dijangka bermula pada 23 April akan datang.

Kesemua jabatan yang dipilih adalah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pertanian Sabah, Jabatan Air, Jabatan Bendahari Negeri Sabah, Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri, Jabatan Perhutanan Sabah, Unit Perancangan Ekonomi Negeri, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan, dan Jabatan Tanah dan Ukur.

Dalam pada itu selaku peneraju pasukan penilaian SSR, Maznah mengingatkan kepada semua ketua jabatan yang terlibat supaya memandang serius mengenai operasi SSR ini.

“Kita tidak mahu terdapat ketua jabatan yang kurang serius dan menyerahkan persediaan penilaian organisasi kepada pegawai petadbir sahaja tanpa penglibatan penuh semua pegawai dan staf dalam organisasi,” katanya.

Katanya, penilaian SSR tidak hanya terhad kepada tempoh semasa penilaian dijalankan malah prestasi dan kecekapan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri dalam memberi khidmat kepada rakyat dan orang ramai tanpa tanggapan yang negatif akan sentiasa dipertingkatkan.
 
Sumber : New Sabah Times 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...