Wednesday, April 3, 2013

OPERASI DAULAT AKAN DITERUSKAN

Posted by Smookiekins On 4/03/2013 11:56:00 AM

LAHAD DATU: Operasi Daulat akan tetap diteruskan bagi membina keyakinan penduduk tentang aspek keselamatan walaupun wujud kemungkinan Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum (PRU) ke-13 diadakan dalam tempoh terdekat.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata operasi ini memerlukan pasukan keselamatan untuk terus bersiap siaga di Pantai Timur Sabah sehingga tahap keselamatan di paras tertinggi dan saki-baki penceroboh militan Sulu dihapuskan.

“Kita tidak tahu bila PRU. Di pihak kita, tugas menjaga keselamatan kampung-kampung yang terlibat adalah menjadi keutamaan.

“Ini termasuk anggota kita ditempatkan dan berkampung di kawasan rumah penduduk,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Timbalan Pengarah 1 Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Datuk Abd Rahman Hussin.

Beliau berkata selain menambah anggota yang ada, aset juga dikekalkan di kawasan operasi dan kawasan kampung yang telah dikenal pasti sebelum ini bagi menambah kekuatan pasukan keselamatan.

Zulkifeli berkata Operasi Daulat juga akan diteruskan sehingga Kawasan Keselamatan Khas Sabah Timur (ESSCOM) dilaksanakan sepenuhnya.

Mengenai operasi Daulat di Felda Sahabat, beliau berkata operasi Operasi yang dilancarkan sejak 5 Mac lalu ekoran pencerobohan puak pengganas Sulu di Tanduao, kini telah memasuki fasa ketiga iaitu fasa penstabilan (stabilisasi) yang memberi tumpuan untuk membina semula keyakinan penduduk yang terjejas.

Beliau berkata, fasa ketiga itu yang secara rasmi bermula sejak kelmarin adalah kesinambungan daripada dua fasa awal yang telah dilaksanakan sebelum ini.

“Operasi Daulat bermula dengan fasa serangan ofensif pada 5 Mac lalu sebelum memasuki fasa kedua yang merupakan fasa pembersihan dan penggeledahan (mopping dan searching).

“Dalam fasa ketiga ini, tumpuan utama kita adalah untuk membina semula keyakinan rakyat terutama kepada penduduk-penduduk yang menerima kesan daripada pencerobohan musuh,” katanya.

Zulkifeli menjelaskan, antara tindakan yang dilakukan dalam fasa penstabilan ini adalah penglibatan pasukan keselamatan dalam memudahkan pemindahan keluarga yang terjejas ke rumah masing-masing.

Tambahnya, untuk menyakinkan penduduk, unit-unit dan anggota keselamatan akan ‘berkampung’ dan tinggal bersama-sama penduduk tempatan.

“Kita akan bantu mereka untuk kembali meneruskan kehidupan di kampung dan melaksanakan aktiviti-aktiviti harian seperti biasa. Kita akan tempatkan anggota-anggota kita termasuk aset yang ada seperti kereta perisai sepanjang operasi ini.

“Sekiranya mereka adalah nelayan yang mencari kehidupan dengan memancing dan menangkap ikan, maka pasukan keselamatan akan mengiringi mereka dengan bot-bot daripada Polis Marin, Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia,” ujarnya.

Untuk rekod, kira-kira 5,000 penduduk dari sembilan buah kampung dalam gugusan Tanjung Labian terpaksa dipindahkan ke empat pusat penempatan sementara ekoran pencerobohan puak pengganas Sulu sejak 12 Februari lalu.

Sehingga semalam, enam kampung telah disahkan selamat dan bersih iaitu Kampung Tanduo, Kampung Sungai Merah,Kampung Tanjung Batu,Kampung Tanjung Labian, Kampung Sungai Nyamuk dan Kampung Tanagian.

Tiga lagi kampung iaitu Kampung Sungai Bilis, Kampung Lok Sembuang dan Kampung Lok Buani masih digeledah dan dibersihkan pasukan keselamatan.

Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Zon Selamat Sabah (ESSZONE), yang meliputi 10 daerah sebagai landasan perundangan bagi penubuhan ESSCOM.

Daerah berkenaan ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
 
 
Sumber : New Sabah Times 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...