Saturday, March 16, 2013

Kerajaan negeri sentiasa iktiraf, hargai peranan para imam

Posted by Smookiekins On 3/16/2013 09:13:00 AM

Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf dan menghargai peranan, sumbangan dan komitmen tinggi para imam di negeri Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Hj Aman berkata bahawa para imam telah memberi sumbangan yang sangat bermakna dan signifikan kepada proses pembangunan negeri, kesejahteraan dan keharmonian rakyat berbilang kaum, agama dan budaya yang kita nikmati selama ini.

Beliau berkata demikian bersempena Majlis Perasmian Penangguhan Multaqa (pertemuan beberapa pihak) imam-imam Negeri Sabah di Dewan Sa’adah Wisma Muis, di sini, kelmarin.

Katanya, imam adalah antara individu yang memainkan peranan penting dalam masyarakat dimana mereka bukan sahaja mengetuai solat fardu berjemaah, tetapi juga menjadi tempat merujuk pelbagai masalah berkaitan agama Islam seperti kematian, akikah, kenduri, nikah kahwin dan sebagainya.

“Selaku imam mahu pun pemimpin dalam masyarakat, tuan-tuan perlulah sentiasa mempamerkan sahsiah mulia serta melengkapi diri dengan ilmu pengetahuan duniawi dan ukhrawi.

“Ini sesuai dengan fungsi imam yang lebih luas sebagai orang yang bertanggungjawab mengenai bidang agama dan sosial setempat bagi melaksanakan tugas menyebarluaskan ajaran agama serta memenuhi khidmat kemasyarakatan menurut kapasiti masing-masing,” kata Musa.

Tambahnya, sebagai pemimpin masyarakat dalam aspek keagamaan, tentunya para imam mempunyai hubungan kemasyarakatan yang kukuh dengan anak-anak kariah yang tidak segan untuk mengadu dan merujuk hal-hal mereka kepada para imam.

“Dalam hal ini, imam yang ideal akan sentiasa kreatif dan tahu bagaimana mendekati dan menyelesaikan hal-hal kegamaman dalam kariah mereka.

“Ini kerana kita sedar bahawa persekitaran masyarakat pada hari ini sudah jauh berbeza,” katanya.

Di samping itu, beliau juga menyatakan bahawa para pemimpin masyarakat termasuklah para imam perlulah meneroka pelbagai ilmu dan kemahiran untuk melaksanakan tugas dengan lebih berkesan sesuai dengan cabaran semasa.

“Ini termasuklah mencari jalan dan kaedah bersesuaian bagi menarik masyarakat khususnya golongan muda untuk mendekati dan mendalami bidang agama secara berterusan,” tambah Musa.

Sehubungan dengan itu, Musa telah menyampaikan Watikah Pelantikan kepada Imam Besar Masjid Negeri Sabah, Ustaz Hj Ibrahim Kisab.

Pada majlis itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah, Datuk Amri A Suratman telah menyampaikan sumbangan masyarakat Islam melalui kutipan jumaat di Masjid Negeri Sabah berjumlah RM15,413 kepada Musa bagi diserahkan kepada Tabung Wira Lahad Datu.


Sumber: New Sabah Times
Reactions:

1 comment:

  1. peranaan para Iman sentiasa dihargai dan diiktiraf.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...