Saturday, March 16, 2013

Belia Sabah perlu dapat latihan kemahiran

Posted by Smookiekins On 3/16/2013 09:08:00 AM

Para belia di Sabah diseru supaya mendapatkan latihan kemahiran dalam bidang pembinaan terutamanya berkaitan industri minyak dan gas, kata Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Dato’ Sri Ir Dr. Judin Abd Karim.

Katanya, sektor ini kini mula dilihat sebagai bidang yang berdaya maju dan mendatangkan pulangan yang lumayan memandangkan sektor minyak dan gas merupakan penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) bagi Sabah.

“Beberapa projek besar yang sedang atau akan dijalankan di Sabah antaranya Pusat Petroleum dan Gas di Kimanis dan LNG Regasification Terminal di Lahad Datu dan Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) dan sebagainya,” kata Dr. Judin ketika berucap di Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) Sabah Untuk Sesi Akhir 2012, di sini, kelmarin.

Katanya, kesemua pembangunan yang berkaitan dengan industri minyak dan gas ini dijangka memerlukan seramai 23,000 tenaga kerja menjelang 2020.

Oleh itu, Dr. Judin turut menyeru kepada ibu bapa supaya tidak hanya mengukur segulung ijazah sebagai penentu kejayaan anak mereka kerana bidang kemahiran juga menjanjikan kejayaan dan mampu memberikan penghidupan yang baik kepada anak-anak mereka.

“Banyak orang yang hanya nak ijazah dan ingin kerja dalam bidang professional sahaja, tetapi masalahnya sekarang orang ada ijazah pun susah emndapatkan pekerjaan,”.

“Kalau individu itu dilatih sehingga mempunyai kemahiran dalam bidang pembinaan yang tinggi dan dilatih dalam bidang keusahawanan, dia akan menjadi seorang yang berjaya dengan hanya mempunyai sijil dalam bidang pembinaan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Judin turut berkata pertumbuhan di dalam sektor pembinaan dalam tahun 2012 melepasi mengatasi sektor-sektor di dalam ekonomi negara dengan kadar 18.5 peratus.

Katanya, dengan projek-projek di bawah program Tranformasi Ekonomi yang dirancang oleh Kerajaan, pertumbuhan ini dijangka terus meningkat pada tahun ini.

Keseluruhan nilai projek pembinaan 2013 adalah dijangka bernilai RM110 bilion di mana jumlah ini adalah termasuk 52 projek berimpak tinggi yang telah dikenal pasti di bawah Rancangan Malaysia ke-10, katanya.

Bagi Sabah pula katanya, sebanyak RM112.8 bilion telah dilaburkan dalam SDC sejak dilancarkan.

Katanya, di bawah inisiatif Greater Kota Kinabalu sahaja, 31 Entry Point Projects (EPP) dengan sasaran pelaburan sebanyak RM77 bilion sehingga tahun 2020, dan dijangkakan ia mampu memacu peningkatan ekonomi Sabah pada kadar purata sembilan peratus setahun.

Sementara itu, sebagai usaha untuk membangun dan meningkatkan perkembangan industri pembinaan, CIDB Malaysia telah menubuhkan enam Akademi Binaan di seluruh Malaysia untuk memberi latihan kemahiran serta menjadi pusat penilaian dan pentauliahan dalam bidang pembinaan, katanya.

Katanya, Akademi Binaan Malaysia (ABM) di Sabah telah dijadikan sebagai ‘Centre Of Excellent’ di dalam bidang minyak dan gas yang bertepatan dengan arus pembangunan Sabah pada masa ini.

“Setakat ini ABM Sabah berjaya melahirkan lebih 10 ribu orang pelatih daripada golongan belia di dalam pelbagai bidang dan peringkat. Pada tahun 2012 sahaja, ABM Sabah telah melatih seramai 12,800 orang yang terdiri daripada golongan belia dan personel binaan,” katanya sambil menyatakan pihaknya kini sedang Katanya, ABM juga turut menerima kerjasama daripada pelbagai badan Kerajaan seperti Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), pihak swasta, kontraktor tempatan dan multinasional.

Dalam pada itu, seramai 32 orang pelatih ABM dalam bidang Scaffolding yang ditaja oleh PEMANDU telah diambil bekerja oleh majikan ketika masih dalam latihan ABM Sabah lagi.

Sementara itu, menurut Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Mohd Aruddin Matanggal, penubuhan ABM Sabah turut memberi kelebihan kepada kontraktor dalam mengambil tenaga kerja yang lebuh terlatih.

“Dengan adanya ABM Sabah, pihak kontraktor tidak lagi mempunyai masalah besar untuk mendapatkan tenaga kerja yang mahir dan tidak perlu lagi terlalu bergantung sepenuhnya lagi kepada tenaga kerja dari luar,” katanya sambil menyatakan ABM turut memberi peluang kepada golongan Bumiputera untuk menjadi kontraktor yang berjaya.

Sementara itu, seramai 176 pelatih ABM menerima sijil kecekapan kemahiran CIDB pada Majlis tersebut.

Majlis tersebut juga turut menyaksikan Penyampaian Anugerah Khas kepada salah seorang pelatih ABM, Lewi Steven, yang telah mengharumkan nama negara apabila mendapat pingat Perak dalam Asian Skills Competition di Jakarta pada tahun 2012 dan mendapat pingat emas di dalam Pertandingan Kemahiran Malaysia pada tahun 2010.

Juga, Anugerah Khas turut diberikan kepada Mohd Shukri Sintang yang turut menyertai Asian Skills Competition di Jakarta pada tahun 2012 dan mendapat pingat emas di dalam Pertandingan Kemahiran Malaysia pada tahun 2011.


Sumber: New Sabah Times
Reactions:

1 comment:

  1. tingkatkan kemahiran belia2 Sabah

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...