Monday, January 7, 2013

Wanita disaran terokai pelbagai bidang perniagaan

Posted by Smookiekins On 1/07/2013 03:21:00 PM

Golongan wanita di negeri khususnya suri rumah disaran supaya meneroka pelbagai bidang perniagaan untuk meningkatkan pendapatan keluarga.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Jainab Ahmad berkata, dalam hal ini kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan termasuk program 1Azam.

Beliau berkata, program Azam Tani yang menjana pendapatan melalui kegiatan berasaskan pertanian, Azam Niaga (perniagaan kecil-kecilan), Azam Khidmat (bidang perkhidmatan) dan Azam Kerja (penempatan pekerjaan), adalah cabang terbaik kepada wanita seperti ibu tunggal dan suri rumah.

“Walaupun program ini, tidak memberi fokus khusus kepada wanita kerana turut membabitkan Ketua Isi Rumah (KIR) golongan lelaki, namun ia mampu meningkatkan pertumbuhan wanita dalam perniagaan.

“Program ini merupakan inisiatif kerajaan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah dan menjana pendapatan kepada golongan miskin dan miskin tegar.

“Kini kita dapat melihat sudah ramai wanita berjinak-jinak dengan perniagaan dan ini menampakkan pertumbuhan ketara wanita dalam bidang perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke Kampung Rampayan Menggatal dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, di sini, kelmarin.

Jainab berkata, dalam mengecapi status negara berpendapatan tinggi, wanita tidak terkecuali dilihat sebagai antara faktor penting ke arah merealisasikan impian itu.

“Perniagaan dilihat sebagai satu cabang meningkatkan peranan wanita sama ada menerusi peruncitan, penternakan, kesihatan serta penghasilan makanan.

“Ia bukan satu cerita kosong dan situasi ini dapat dibuktikan menerusi komitmen kerajaan yang sentiasa mengiktiraf peranan golongan hawa dalam prospek pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, kebangkitan wanita dalam dunia perniagaan mendapat perhatian serius daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila dengan jelas menyeru masyarakat supaya mengiktiraf peranan besar wanita.

“Atas faktor itu, tidak menghairankan apabila pengenalan Indeks Prestasi Utama (KPI) menerusi enam teras NKRA yang diperkenal dalam memenuhi keperluan rakyat yang menekankan kepada proses pembangunan wanita sebagai peneraju penting pertumbuhan ekonomi negara.

“Bagi merealisasikan perkara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dipertanggungjawabkan untuk meningkatkan taraf hidup mereka yang berpendapatan rendah, iaitu satu daripada teras NKRA, menggalas peranan berat mengeluarkan wanita daripada kepompong minda konservatif dengan meningkatkan penyertaan dan peranan aktif golongan itu,” katanya.

Dalam lawatan itu, Jainab bersama rombongan Jalinan Rakyat Wanita Umno Sepanggar telah melawat cottage industri yang dimiliki Tialam Mai di Kampung Rampayan, Menggatal.

Atas usaha dan keazaman pengusaha tersebut, Wanita Umno Sepanggar mencadangkan kepada Wanita Umno Sabah dan Wanita Umno Malaysia untuk menambah barangan kedai jahitan dan beberapa buah mesin jahit untuk kegunaan kedai tersebut.

Jainab berkata, kedai tersebut banyak mendapat tempahan untuk membuat langsir, baju dan kusyen daripada orang ramai.



Sumber: New Sabah Times

11 comments:

  1. golongan wanita jg harus aktif dalam bidang perniagaan.

    ReplyDelete
  2. Jika dahulu, wanita lebih sinonim dengan status sebagai suri rumah namun pandangan itu berubah selari dengan 50 tahun kemerdekaan apabila wanita hari ini menjadi sebahagian daripada penyumbang utama ke arah mencapai status negara maju.

    ReplyDelete
  3. melalui pelbagai komitmen kerajaan bagi memperkasakan keupayaan wanita dalam pembangunan dan pentadbiran negara termasuk memperkukuh serta membangunkan ekonomi golongan hawa.

    ReplyDelete
  4. Perniagaan pula dilihat sebagai satu cabang yang mampu meningkatkan peranan wanita menerusi pelbagai bidang seperti peruncitan, penternakan, kesihatan serta penghasilan makanan.

    ReplyDelete
  5. Hasilnya ternyata memberangsangkan apabila terdapat kira-kira 3,800 usahawan wanita berjaya dilahirkan, menghampiri sasaran 4,000 usahawan wanita menjelang akhir tahun lalu

    ReplyDelete
  6. Antara pengisian yang diatur bagi membangunkan ekonomi golongan itu adalah dengan memberi latihan teknikal, penyediaan kursus asas keusahawanan serta tidak ketinggalan, Program 1Azam.

    ReplyDelete
  7. Objektif program yang diperkenal pada 2012 itu adalah untuk menyediakan peluang menjana pendapatan rakyat yang berpendapatan rendah melalui pertanian, perniagaan kecil-kecilan serta menyediakan peluang pekerjaan.

    ReplyDelete
  8. Sehingga 30 September tahun lalu, seramai 64,191 wanita menyertai 1Azam di seluruh negara melibatkan perbelanjaan RM475,221,070.

    ReplyDelete
  9. Walaupun program ini, tidak memberi fokus kepada golongan wanita semata-mata namun ia terbukti berjaya meningkatkan pertumbuhan wanita dalam perniagaan melalui empat cabang program iaitu Azam Kerja, Azam Tani, Azam Niaga dan Azam Khidmat.

    ReplyDelete
  10. Berbekalkan pelbagai kemahiran membuat kek, kuih moden dan tradisional, yang diperoleh hasil daripada menyertai pelbagai jenis kursus

    ReplyDelete
  11. Kemahirannya dalam bidang andaman dan solekan kini semakin berkembang dan memberikan hasil yang lumayan setelah menyertai 1Azam

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...