Friday, January 25, 2013

GTP tahap kedua cabaran baru bagi polis

Posted by Smookiekins On 1/25/2013 04:55:00 PM

Program Transformasi Kerajaan (GTP) tahap kedua (2013-2015) merupakan satu lagi cabaran baru kepada polis di mana sebanyak 35 inisiatif telah dikenal pasti untuk pelaksanaannya.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintenden Robert Salisip @ David berkata, kesemua inisiatif baru dan lama adalah bermatlamatkan kepada pengurangan indeks jenayah keseluruhan, kes-kes pecah rumah, meningkatkan indeks persepsi keselamatan, meningkatkan bagi kertas siasatan serta meningkatkan kepuasan masyarakat terhadap prestasi polis.

Katanya, dalam dunia moden ini, ke semua prestasi kita diukur menggunakan kaedah tertentu dan hasilnya juga dipaparkan dengan format tertentu.

Berucap di Perhimpunan Bulanan Polis di dataran kawad Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau, Robert memberitahu bahawa dalam dunia globalisasi sekarang, prestasi polis dibentangkan melalui pelbagai indeks yang merangkumi hasil kajian ekonomi, politik dan sosial dengan perbandingan statistik bagi seluruh negara yang terlibat.

Beliau percaya anggota polis mengetahui mengenai Indeks Keamanan Global (GPI), Forum Ekonomi Dunia, Indeks Kesejahteraan Keluarga, Indeks Pembangunan Kemanusiaan Bangsa-Bangsa Bersatu dan sebagainya.

Baru-baru ini, katanya, satu lagi indeks mendapat perhatian dunia iaitu Indeks Kebahagiaan dan mengikut laporan terbaharu Laporan Kebahgian Dunia (World Happiness Report) yang diterbitkan oleh The Earth Institute, Universiti Columbia, Malaysia adalah Negara ke 8 yang paling bahagia di antara 100 negara yang dikaji.

“Sebagai perbandingan, Amerika Syarikat di tempat ke 23, Kanada ke 24, Jepun ke 34 dan Korea Selatan ke 38. Saya berkongsi maklumat ini kerana segala tindakan dan keberkesanan kita adalah berkadar langsung dengan kebahagiaan masyarakat. Justeru, kita mestilah terus menggandakan usaha agar masyarakat terus aman dan bahagia.

“Di peringkat PDRM Keningau, kadar jenayah semasa telah menunjukkan penurunan. Perbandingan jenayah daerah Keningau bagi tempoh Januari sehingga Disember 2012 dengan tempoh yang sama pada tahun 2011 menunjukkan penurunan sebanyak negatif 19.51 peratus. Bagi jenayah kekerasan dan penurunan sebanyak 0.00 peratus dan bagi jenayah harta benda menunjukkan penurunan sebanyak negatif 3.79 peratus.

“Kadar penurunan ini perlu dilihat sebagai motivasi untuk kita terus berusaha tanpa mengenal erti penat lelah untuk mengurangkan jenayah ke tahap yang paling minima,” katanya.

Robert berkata, pasukan polis telah bekerja kuat melaksanakan 26 inisiatif di bawah Bidang keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengurangkan jenayah. Hasil daripada pelaksanaan dan pemantauan rapi daripada Kementerian Dalam negeri, PDRM telah berjaya mengurangkan jenayah indeks dan jenayah jalanan selama tiga tahun berturut-turut.

Di samping kejayaan-kejayaan PDRM membanteras jenayah, katanya, cabaran-cabaran berkaitan persepsi masyarakat terhadap perkhidmatan polis yang dikatakan tidak “tidak menepati sasaran” oleh sesetengah golongan juga perlu ditangani demi menjaga kredibiliti pasukan ini di negara ini.

Menurut beliau, PDRM mengambil pendirian yang positif terhadap maklum balas ini. Manakala persepsi adalah sesuatu yang berdasarkan kepada sentimen, maka pada hari yang bersejarah ini beliau menyeru seluruh warga PDRM untuk mengubah persepsi ini melalui pemantapan kualiti perkhidmatan demi memberikan kepuasan maksima kepada orang ramai.

“Usaha menangani persepsi bermula dari akar umbi dan dalam konteks polis, mereka yang berdepan dengan orang ramai atau barisan depan mestilah menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Amalan integriti di dalam diri setiap pegawai dan anggota PDRM akan menyerlahkan sifat profesionalisme mereka. Gandingan kedua-dua sifat tersebut tentunya akan Berjaya meningkatkan persepsi positif masyarakat terhadap PDRM.

“Itulah “magna carta” kita. Jika usaha berterusan dan bersungguh-sungguh diambil, nescaya hasilnya akan menunjukkan trend positif dalam system penyampaian perkhidmatan PDRM,” katanya.

Robert berkata, walaupun petunjuk-petunjuk keberhasilan NKRA adalah memberangsangkan dengan trend penurunan dalam kadar jenayah, anggota polis juga perlu melihat kepada penilaian luaran yang boleh membantu analisis status perkhidmatan PDRM.

Mengenai disiplin, beliau meminta setiap organisasi beruniform seharusnya memiliki nilai-nilai disiplin, etika dan peraturan-peraturan tertentu yang mesti dipatuhi pada setiap masa.

Katanya, etika dan disiplin adalah simbol ketegasan dan pematuhan kepada peraturan dan undang-undang yang akan membezakannya dengan organisasi-organisasi lain, yang bebas dan tidak terikat.

“Elemen budaya dalam polis, selain daripada penampilan ‘lelaki berbaju biru’,ialah pegangan yang teguh kepada nilai, etika dan disiplin. Ini merupakan sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dalam diri seseorang pegawai polis.

“Justeru, jangan biarkan sesuatu yang negatif berlaku dalam organisasi kita. Jika ianya terjadi, sudah tentulah imej kita akan tercalar, dan untuk memulihkannya adalah amat sukar,” katanya.

Menurut Robert, pemulihan imej sesebuah organisasi bukanlah sesuatu perkara yang mudah, ia memerlukan perancangan yang teliti, tenaga, mengambil masa yang panjang dan perbelanjaan yang tinggi sedangkan kerosakan dan kemusnahan imej akibat segelintir begitu pantas berlaku.

Katanya, pihak pengurusan yang bertanggungjawab perlu memastikan agar perkara ini diberi perhatian yang sewajarnya agar kerosakan imej dapat dibendung, di samping memastikan tindakan yang profesional di dalam membentuk mutu disiplin yang dikehendaki menjadi amalan rutin pasukan Polis.

Pada majlis itu, Robert turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 21 anggota polis bagi tahun 2011 atas sumbangan dan perkhidmatan cemerlang yang diberikan kepada PDRM.


Sumber: New Sabah Times
Reactions:

3 comments:

  1. kurangkan kontroversi, tingkatkan prestasi:)berikan komitmen yang tinggi pada kerja.

    ReplyDelete
  2. Harap pihak polis sentiasa bersedia dengan keadaan yang semakin mencabar dalam profesion mereka sekarang.

    ReplyDelete
  3. polis harus tingkatkan lagi mutu kerja mereka.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...