Thursday, November 1, 2012

43 PPRT DUN Bongawan siap, 11 unit lagi penghujung tahun ini

Posted by Smookiekins On 11/01/2012 12:46:00 PM

Sebanyak 54 rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) diperuntukkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bongawan membabitkan kos di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) berjumlah RM2.7 juta.

Adun Bongawan, Datuk Karim Bujang berkata, setakat Oktober sebanyak 43 unit atau 80 peratus rumah PPRT telah berjaya dibina, manakala selebihnya iaitu 11 unit dijangka siap sebelum penghujung tahun ini dengan kos pembinaan seunit rumah RM50,000.

“Bantuan rumah PPRT adalah sejajar dengan wawasan kerajaan untuk menyediakan rumah lebih selesa dengan kemudahan asas serta prasarana bagi golongan kurang bernasib baik dan ini membuktikan kerajaan sentiasa komited membela nasib rakyat,” ujar beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pelabuhan Sabah.

Sementara itu, Nulia Mojumin, 45, seorang penerima bantuan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Langkawit, di sini baru-baru ini berkata, beliau sungguh terharu dan gembira kerana impiannya memiliki sebuah rumah sendiri akhirnya tercapai.

“Tiada kata mampu menggambarkan kegembiraan saya ini apabila impian memiliki rumah sendiri tercapai dan bersyukur kerana diberi peluang meneruskan kehidupan bersama tiga anaknya berusia 13 hingga 17 tahun di rumah baru hasil keprihatinan kerajaan dan inisiatif wakil rakyat kawasan itu,” katanya.

Nulia, seorang ibu tunggal selepas kematian suami lima tahun yang lalu berkata, pemberian rumah itu merupakan pemberian yang paling bermakna dalam hidup mereka dan sebagai penyuntik semangat untuk meneruskan kehidupan.

“Kematian suami pada tahun 2008 menyebabkan saya dan anak-anak hilang tempat bergantung dan terpaksa menumpang di rumah abang ipar yang terletak tidak jauh dari sini, justeru pemberian rumah PPRT ini amat menggembirakan kami sekeluarga.

“Malah, sambutan Krismas tahun ini juga akan menjadi lebih bermakna kerana buat pertama kalinya perayaan itu akan disambut di rumah sendiri dan semua ini hasil bantuan dan komitmen kerajaan yang sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat,” katanya.

Nulia yang hanya melakukan kerja kampung sebagai sumber pendapatan keluarga menerima sekitar RM250 sebulan itu juga telah mendapat perhatian kerajaan apabila beliau turut menerima bantuan kebajikan berjumlah RM300 sebulan bagi meringankan sedikit beban ditanggungnya.

“Walaupun pendapatan yang diterima setiap bulan sekadar ‘cukup makan’, namun saya bersyukur kerana ia mampu menampung kehidupan kami sekeluarga termasuk menanggung belanja persekolahan anak-anak.

“Saya sangat berterima kasih dan penghargaan saya berikan kepada Datuk Karim Bujang atas usahanya, saya mampu memiliki rumah yang menjadi impian kami selama ini serta mendapat bantuan daripada pihak kerajaan,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Kunci PPRT yang disampaikan Datuk Karim Bujang di Kampung Langkawit, di sini.


Sumber: New Sabah Times

3 comments:

  1. Perbanyakan rumah PPRT untuk rakyat

    ReplyDelete
  2. Semoga rakyat yang miskin dan sederhana dapat rumah PPRT

    ReplyDelete
  3. PPRT membantu rakyat dalam memiliki rumah.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...