Thursday, October 4, 2012

MUSA: K’JAAN KOMITED TANGANI PENGANGGURAN

Posted by Smookiekins On 10/04/2012 01:12:00 PM

Terdapat lebih 32,000 pemohon kerja di Sabah, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, berdasarkan statistik terkini daripada Jobs Malaysia.

Sehubungan dengan itu katanya, kerajaan komited membantu golongan ini dengan melaksanakan program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang melibatkan pihak swasta menerusi Tangungjawab Sosial Korporat (CSR).

“Pelaksanaan program SL1M ini adalah bertepatan dengan masanya kerana sekurang-kurangnya ia berupaya mengatasi masalah pengangguran di kalangan graduan,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Program Outreach SL1M Untuk Graduan dan Sesi Penerangan Berkenaan Insentif Potongan Cukai Berganda Kepada Syarikat Yang Menyertai Program SL1M Peringkat Negeri Sabah 2012, di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, kelmarin.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa menyambut baik usaha pelbagai pihak termasuk daripada jabatan dan agensi kerajaan, sektor korporat dan swasta dalam membantu mengurangkan pengangguran di kalangan graduan di Sabah.

Kerajaan amat prihatin terhadap nasib rakyat termasuklah golongan belia khususnya para graduan, katanya.

“Kita telah dan akan sentiasa melaksanakan pelbagai program bagi memastikan mereka mempunyai peluang untuk mendapat pekerjaan,” katanya

Oleh itu katanya, sektor swasta juga turut berperanan penting bagi memastikan negeri ini mempunyai kepakaran yang sesuai dengan keperluan industri dan kehendak semasa dalam memberi peluang pekerjaan kepada para graduan.

“Saya yakin penglibatan sektor swasta menerusi CSR dalam program ini dapat membentuk calon yang berpotensi sebagai pekerja yang berkualiti serta boleh dibimbing meng- ikut pasaran pekerjaan semasa,” katanya sambil menyatakan bahawa programSL1M ini adalah diilhamkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan dengan itu katanya, Kerajaan telah bersetuju untuk memberi insentif potongan cukai berganda kepada syarikat yang menyertai program ini dengan kelulusan cukai diberikan selama hanya 5 tahun berkuatkuasa mulai 1 Jun 2012 sehingga 31 Disember 2016.

“Pemberian insentif ini adalah sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan Kerajaan di atas kerjasama, komitmen dan sokongan padu yang diberikan serta usaha-usaha murni yang dijalankan oleh semua syarikat yang terlibat dalam menjayakan program SL1M ini,”.

“Oleh itu saya berharap bilangan syarikat khususnya di Sabah akan bertambah selepas program Outreach SL1M ini,” katanya.

Sementara itu, Musa menyatakan bahawa Kerajaan Negeri turut menggalakkan pelabur luar datang melabur dan membuka syarikat di Sabah supaya ia dapat membuka peluang kepada para graduan di negeri ini mendapat pekerjaan.

Selain itu, Musa turut menasihati para graduan supaya tidak memilih kerja dan terus berusaha tanpa putus asa dalam mencari pekerjaan serta melengkapi diri mereka dengan kemahiran dan pengetahuan secukupnya untuk menghadapi dunia pekerjaan.

Sementara itu, seramai 400 atau 10 peratus daripada 4,000 pemohon yang layak menyertai program SL1M adalah graduan-graduan dari Sabah, katanya.

Juga katanya, program SL1M di Sabah telah menerima penyertaan sebanyak 44 syarikat daripada 80 penyertaan syarikat di seluruh Malaysia.

Mengikut rekod, pada tahun lepas (2011) katanya, seramai 8,000 graduan di seluruh Malaysia telah mendapat pekerjaan selepas menyertai program SL1M ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Mohd. Harun Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Unit Perancang Ekonomi, di Jabatan Perdana Menteri, Nik Azman Nik Abdul Majid, Pengarah Seksyen Pembangunan Modal Insan Unit Perancang Ekonomi, Dr. Mohd Ghazali Abas, Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Datuk Ismail dan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan JobsMalaysia, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Rahmat Ismail.

Sumber: New Sabah Times

3 comments:

  1. Diharap kadar pengangguran di Sabah berkurangan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang itulah yang sedang dikaji oleh kerajaan untuk memastikan masalah pengangguran dapat dikurangkan di Negeri Sabah ini.

      Delete
  2. Kerajaan bersungguh-sungguh membantu para penganggur untuk mendapatkan pekerjaan

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...