Friday, October 5, 2012

KBSS yakin capai sasaran keluarkan 1,300 miskin tegar melalui 1Azam

Posted by Smookiekins On 10/05/2012 01:20:00 PM

Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS), yakin dapat mencapai sasaran untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya 1,300 rakyat miskin tegar di seluruh negeri sehingga hujung tahun ini melalui pelbagai Program Akhiri Zaman Miskin (1Azam).

Pembantu Menterinya Datuk Jahid Jahim berkata, setakat ini kementerian itu berjaya melatih lebih 800 orang seluruh Sabah dalam pelbagai program termasuk program Seni Jahitan Kreatif, Pembuatan Kek, Masakan dan refleksologi.

“Pada hari ini seramai 20 orang belia berjaya menyertai dan menamatkan Kursus Seni Kreatif Jahitan di bawah Program 1Azam anjuran kerajaan negeri yang dikendalikan oleh Akademi Jahitan Kota Kinabalu (AJKK).

“Mereka turut diberikan peralatan menjahit bagi membantu memulakan perniagaan secara kecil-kecilan, sama ada dengan mengambil upah menjahit di rumah atau membuka gerai dan kedai jahit di kampung masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan dan penyampaian sijil kepada para peserta Kursus Kemahiran Seni Kreatif Jahitan Program 1Azam e-Kasih, di AJKK, di sini, kelmarin.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap KBSS, Haji Awang Damit Awang Anak dan Pengetua AJKK, Alicia Lenson.

Jahid berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap keperluan semua kumpulan rakyat di negeri ini termasuk miskin tegar.

Katanya, golongan miskin tegar disenaraikan dalam e-Kasih bagi memudahkan kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan kepada mereka termasuk memberikan latihan kemahiran sebagai sokongan untuk keluar daripada garis kemiskinan.

“Kebanyakan peserta yang menyertai kursus-kursus 1Azam berjaya mendapat pekerjaan atau membuka perniagaan kecil-kecilan,” katanya.

Beliau turut menyeru golongan belia supaya bijak merebut perniagaan termasuk bidang jahitan yang mempunyai potensi tinggi untuk dimajukan.

“Sekiranya ingin membuka sesebuah perniagaan, lebih baik mulakan secara kecil-kecilan sebelum memperluaskannya bagi memastikan ia benar-benar berjaya dan mencapai matlamat kita,” katanya.

Jahid juga mahu golongan lelaki mengubah pandangan terhadap bidang jahitan hanya dimonopolikan oleh kaum wanita kerana ramai lelaki yang berjaya bidang itu.

“Saya berharap pada masa akan datang lebih ramai lelaki menyertai kursus menjahit seterusnya membuka kedai untuk menambah pendapatan seterusnya membantu keluarga keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya.

Terdahulu itu ketika berucap Jahid berkata kerajaan menganjurkan kursus dan latihan kemahiran seni kreatif jahitan kerana menyedari bidang kemahiran itu amat berguna dan boleh membantu menjana pendapatan, walaupun kerja menjahit hanya dilakukan di rumah.

“Selepas mengikuti kursus dan latihan selama tiga bulan, para peserta perlu berusaha mengembangkan ilmu yang dipelajari dan memanfaatkan bantuan yang disalurkan oleh kerajaan untuk keluar daripada garis kemiskinan,” katanya.

Katanya lagi, belia di negeri ini harus merebut peluang untuk meningkatkan kemahiran menerusi kursus yang disediakan kerajaan bukan sahaja memenuhi permintaan pasaran pekerjaan, malah menjadikannya sebagai kerjaya.

AJKK merupakan pusat latihan kemahiran milik bumiputera yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 (Pembuatan Pakaian Wanita), SKM Tahap 2 (Pembuatan Pakaian Wanita Kanan) dan SKM Tahap 2 (Penyediaan Pembuat Pakaian Wanita) melalui persijilan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

Sijil SKM Tahap 1&2 diadakan selama enam bulan, manakala SKM Tahap 3 selama 12 bulan.


Sumber: New Sabah Times
Reactions:

12 comments:

  1. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk menangani masalah kemiskinan yang terdapat di Negeri Sabah ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kerajaan berusaha untuk mengeluarkan rakyat Sabah dari garis kemiskinan

      Delete
  2. Kadar kemiskinan Sabah perlu dikurangkan secara berterusan

    ReplyDelete
  3. Diharap 1Azam dapat terus membantu rakyat yang miskin

    ReplyDelete
  4. Program berkaitan pembasmian kemiskinan khususnya kemiskinan tegar, terus menjadi tumpuan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah pada tahun depan.

    ReplyDelete
  5. Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Ewon Ebin berkata sebahagian besar peruntukan RM18.5 juta untuk program pembasmian kemiskinan tahun depan akan dibelanjakan bagi meneruskan projek-projek Mini Estet Sejahtera (Mesej)yang masih dalam pelaksanaan, di samping memulakan beberapa Mesej baharu.

    ReplyDelete
  6. Di samping itu, peruntukan sebanyak RM1 juta di bawah Pembangunan Usahawan Desa akan membolehkan kementerian ini meneruskan pelaksanaan pusat-pusat
    keusahawanan desa sebagai tambahan dan naik taraf kepada tiga Pusat Usahawan Desa yang telah dibangunkan di Pitas, Beluran dan Penampang.

    ReplyDelete
  7. Kementerian ini yakin dengan adanya kerjasama erat antara kementerian dan wakil-wakil rakyat, penjawat awam dan golongan sasar, program-program membasmi kemiskinan yang dilaksanakan akan dapat mencapai sasaran membantu mensifarkan kemiskinan tegar dan mengurangkan kemiskinan relatif di negeri ini.

    ReplyDelete
  8. Kementerian itu turut memperoleh peruntukan RM55 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi melaksanakan Program Bantuan Rumah (PBR) di Sabah tahun depan.

    ReplyDelete
  9. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Hajiji Mohd Noor berkata kementerian itu melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) akan meneruskan pembinaan pekan-pekan baharu dan menyediakan rumah kos rendah dan sederhana.

    ReplyDelete
  10. Dalam pusingan kedua Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), sebanyak 13 pekan baharu dan tiga perumahan awam telah diluluskan dengan peruntukan siling sebanyak RM33.25 juta di mana agihan untuk pembangunan pekan-pekan baharu ialah RM18.36 juta dan untuk program perumahan awam pula RM14.89 juta.

    ReplyDelete
  11. Peruntukan bagi pekan-pekan baharu pada tahun ini ialah RM8.71 juta untuk membangunkan 10 pekan baharu dan sehingga Oktober, sebanyak lima pekan siap dengan perbelanjaan RM4.99 juta, manakala lima lagi dalam pelaksanaan dan dijangka siap menjelang 15 Nov ini dengan anggaran perbelanjaan RM3.72 juta.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...