Wednesday, July 18, 2012

Persisiran pantai KK tidak boleh dimiliki pihak lain

Posted by Smookiekins On 7/18/2012 09:08:00 AM
Dewan Undangan Negeri Sabah kelmarin meluluskan Rang Undang-Undang Tanah Sabah, yang antara lain tidak membenarkan kawasan pesisir pantai di bandaraya Kota Kinabalu diberi milik kepada pihak lain. Terdahulu, ketika membentangkan rang undang-undang itu bagi meminda Ordinan Tanah Sabah 1930 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Radin Malleh berkata keluasan tanah yang terlibat ialah 1,550 hektar di kawasan pesisir pantai Tanjung Aru hingga Teluk Likas dekat sini.


 kawasan pesisir pantai KK tidak boleh dimiliki pihak lain

“Dasar dan garis panduan sedia ada yang diguna pakai sekarang didapati tidak memadai untuk menghalang pemberimilikan tanah di kawasan berkenaan. “Pindaan dalam rang undang-undang ini adalah pendekatan terbaik untuk mengawal kawasan tanah kerajaan negeri tertentu yang perlu dilindungi sepenuhnya tanpa sebarang keraguan dan kebimbangan khususnya terhadap pihak-pihak tertentu yang mungkin akan mengambil kesempatan melalui proses perundangan,” katanya.

Radin turut menjelaskan kepesatan pembangunan negeri Sabah sekarang bukan alasan untuk mengorbankan khazanah alam semula jadi. Katanya, pembangunan yang tidak terancang hanya akan merosakkan alam semula jadi, keindahan, keunikan dan lanskap bandaraya Kota Kinabalu.

Sementara itu Ketua Menteri, Datuk Seri Musa dalam kenyataannya berkata kerajaan negeri menyegerakan keputusan bersejarah semasa persidangan Dewan Undangan Negeri di sini kelmarin berhubung pindaan enakmen tanah membabitkan pesisir pantai Kota Kinabalu bagi menyukarkan pihak lain di masa depan dengan mudah tebus guna kawasan yang dipertikaikan. Ketua Menteri berkata perlindungan kawasan pesisir pantai bandar raya itu daripada ditebus guna selanjutnya adalah untuk kepentingan generasi akan datang.

“Kita telah melihat apa yang telah dilakukan pada masa lalu…tanah pesisir pantai yang berharga telah diberi secara sembarangan kepada pihak-pihak yang mempunyai kepentingan diri,” katanya.

Musa berkata beliau menerima banyak komen daripada badan bukan kerajaan (NGO) termasuk badan alam sekitar, penduduk tempatan dan pelancong yang menyuarakan kebimbangan mereka berhubung keperluan melindungi dan memulihara kawasan pesisir pantai Kota Kinabalu yang cantik.

“Ini bukan sahaja untuk industri pelancongan kita tetapi demi generasi akan datang, anak-anak kita, dan rakyat kita,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri menghadapi tuntutan saman berjumlah ratusan juta ringgit dan dalam satu kes, kerajaan negeri disaman RM1.7 bilion kerana membatalkan kelulusan tanah yang dibuat pada masa lepas.

“Kerajaan sekarang boleh mengambil jalan mudah iaitu mengikut sahaja dan membenarkan pesisir pantai ditebus guna dan dibangunkan secara persendirian, menjadikan kawasan hadapan laut kurang dimasuki orang awam. “Tetapi kami menentang dan mempunyai kemahuan politik untuk menghentikannya walaupun tahu ia akan disusuli dengan tindakan saman. Alhamdulillah, kami berjaya memenangi semua kes saman itu,” katanya.

Musa berkata tidak seperti negara Singapura dan Hong Kong di mana tanah adalah sukar didapati, tidak perlu bagi Sabah secara agresif menebus guna pesisir pantainya.

“Sabah masih mempunyai tanah yang banyak. Kenapa perlu bagi kita tebus guna pesisir pantai kita,” katanya.

Sumber: New Sabah Times

4 comments:

  1. Keputusan yang baik daripada Datuk Musa Aman, dengan cara ini kita boleh melindungi persisiran pantai kita daripada diambil oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Musa Aman mmg prihatin dan melindungi persisiran pantai kita.

      Delete
  2. Semoga usaha menambah keindahan bandar kita dapat menarik lebih ramai pelancong untuk datang melawat.

    ReplyDelete
  3. Saya setuju juga apa yang dikatakan ini. Ini bagi menjaga kawasan pesisiran pantai ini untuk generasi yang akan datang.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...