Operasi Daulat bagi mengesan dan memburu kumpulan pengganas Sulu di
Lahad Datu, Sabah akan diteruskan walaupun ketua kumpulan penceroboh
itu, Azzumudie Kiram atau Agbimuddin Kiram telah meloloskan diri ke
selatan Filipina.
Berdasarkan maklumat dan risikan daripada sumber
tertentu, pihak berkuasa keselamatan berpendapat dan yakin Azzumudie
telah meninggalkan pengikutnya di kawasan operasi dan melarikan diri ke
tempat asalnya di selatan Filipina.
Perkara itu diumumkan oleh
Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Jeneral Zulifeli Mohd Zain dan Ketua
Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada sidang media bersama di sini,
malam tadi.
Mereka berkata maklum balas daripada pasukan
keselamatan negara di kawasan operasi di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan
kawasan sekitarnya menunjukkan Azzumudie tidak lagi bersama dengan
pengikutnya di Sabah.
Bagaimanapun, mereka tidak memberi butiran
lanjut ketika ditanya bagaimana ketua pengganas itu berjaya meloloskan
diri daripada kepungan pasukan keselamatan yang melancarkan gerakan
besar-besaran sejak 12 hari lepas.
Zulkifeli berkata, walaupun
Azzumudie telah melarikan diri, Op Daulat akan diteruskan bagi memburu
dan menangkap saki-baki kumpulan itu yang masih berada di Tanjung Batu,
Lahad Datu.
Beliau berkata, pasukan keselamatan telahpun memasuki
Kampung Tanjung Batu untuk membuat pembersihan dengan lebih terperinci
dan yakin dalam beberapa hari lagi kawasan itu dapat dibersihkan.
Dalam
operasi pagi semalam, pasukan keselamatan mengesan beberapa aktiviti
yang dipercayai dilakukan oleh musuh dalam kumpulan yang kecil,katanya.
Ismail
pula berkata, pihaknya yakin dengan jumlah besar anggota pasukan
keselamatan pada masa ini, usaha membersihkan kawasan-kawasan yang
terbabit dapat dijalankan dengan lebih cepat dan berkesan.
Sebelum
itu, kedua-dua mereka mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa
Aman dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.
Mengenai
penubuhan kawasan keselamatan khas Eastern Sabah Security Command
(ESSCOM), Ismail berkata pihaknya telah mengenalpasti beberapa kawasan
dan berharap ianya dapat direalisasikan.
Sementara itu Zulkifeli
pula berkata, pihaknya telahpun menyediakan kerangka penubuhan ESSCOM
dan yakin ianya dapat diwujudkan dengan secepat mungkin.
Selepas
sidang media itu, kedua-dua mereka telah menghadiri mesyuarat mengenai
penubuhan ESSCOM, yang dipengerusikan oleh Ali di sini.
Sumber: Sinar Harian
ketua yang pengecut, sanggup tinggalkan pengikutnya.
ReplyDelete