Thursday, September 20, 2012

Semua pihak disaran ambil bahagian program jaga alam sekitar

Posted by Smookiekins On 9/20/2012 01:06:00 PM

Semua pihak disaran mengambil bahagian dalam program melibatkan soal penjagaan alam sekitar memandangkan ia adalah elemen amat penting untuk masa hadapan bumi.

Ahli Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin, berkata kesedaran menjaga alam sekitar haruslah dipupuk kerana tanggungjawab bukan hanya dilakukan satu pihak sebaliknya setiap anggota masyarakat wajar tampil dalam menjaga alam sekitar yang dikongsi bersama ini.

Beliau berkata, program yang baru diperkenalkan iaitu Rakan Alam Sekitar (RAS) adalah satu pendekatan murni sekali gus memberikan kesedaran dan menanam rasa tanggungjawab di kalangan masyarakat untuk sama-sama merealisasikan matlamat tersebut.

Katanya lagi, program itu turut memberikan peluang kepada warga sekolah dalam meningkatkan kecintaan para pelajar terhadap alam sekitar seperti menghayati, menghargai dan mencintai persekitaran agar keindahannya dapat dikekalkan sampai bila-bila.

“Kecintaan terhadap peri pentingnya menjaga alam sekitar sepatutnya bermula di peringkat sekolah kerana di sinilah anak-anak mula dibentuk untuk menyemai rasa tanggungjawab dalam mencintai alam sekitar,” jelasnya.

Linda Tshen menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran RAS peringkat Parlimen Batu Sapi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sung Siew, di sini, kelmarin.

Hadir sama ialah Guru Besar SK Sung Siew, Chong Mee Fook @ Florence; Ketua Jabatan Alam Sekitar Cawangan Sandakan, Thamara Selvam a/l Vyapuri; Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Karamunting, Jeffry Chong dan para guru serta murid-murid sekolah.

Pada majlis itu, sebanyak empat buah sekolah rendah iaitu SK Sung Siew; SK Muhibbah; SJK © Pei Ying dan SJK © Tai Tong telah terpilih untuk menerima bantuan sebanyak RM5,000 bagi menjalankan aktiviti-aktiviti RAS sepanjang tahun ini.

“Saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jabatan Alam Sekitar kerana memilih sekolah-sekolah di dalam Parlimen Batu Sapi sebagai pusat program murni ini.

“Saya berharap kepada sekolah yang terpilih akan dapat memanfaatkan bantuan dalam merealisasikan segala aktiviti ke arah kelestarian alam sekitar selain penerapan pendidikan alam sekitar di setiap sekolah,” tambahnya.

Justeru, katanya, kemahiran dan komitmen golongan pendidik dalam aspek ‘Environmentalize Their Curuculum’ adalah diperlukan agar berjaya melahirkan pelajar yang berliterasi alam sekitar.

Ibarat kata pepatah Melayu ‘Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya’, beliau berkata bahawa RAS adalah satu pendekatan menyeluruh yang melibatkan semua lapisan warga sekolah dan sekali gus menerapkan konsep bersepadu dalam pengurusan Kurikulum, Ko-kurikulum, Penghijauan serta Kelestarian Alam Sekitar.

Terdahulu dari itu, Florence dalam ucapannya pula memberitahu program dikenali sebagai Serasi turut dilaksanakan di sekolah ini sejak tahun 2007 yang diperkenalkan melalui Unit Hal Ehwal Murid.

Menurut beliau, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi menghijaukan prasarana sekolah agar sekolah menjadi tempat yang kondusif dan mesra alam.

“Berbagai aktiviti kami usahakan untuk menyedarkan semua warga SK Sung Siew termasuklah ibu bapa, anak-anak didik kami di sekolah ini betapa pentingnya memelihara dan memulihara alam sekitar dengan satu harapan setiap insan yang bergelar ahli warga sekolah ini akan mencintai bumi yang indah ini.

“Aktiviti yang melibatkan kesedaran alam sekitar juga dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran dan juga semasa aktiviti unit kokurikulum dijalankan dan kini segala pengurusan dalam bilik darjah termasuklah papan kenyataan, hiasan kelas semuanya bertemakan Serasi,” jelasnya.

Florence berkata, program yang dijalankan adalah bertujuan tidak lain dan tidak bukan untuk mempertingkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar di sekolah.

Malahan, katanya, melalui program ini diharap pihak sekolah mampu memainkan peranan membantu kerajaan untuk memupuk sikap positif dan cinta akan alam sekitar di kalangan masyarakat terutamanya kepada generasi muda hari ini.

Sumber: New Sabah Times

5 comments:

  1. Mari sama kita menjaga alam sekitar kita. Kerjasama antara semua memastikan kejayaan sesuatu program tersebut.

    ReplyDelete
  2. Tujuan sebenara perkara ini dilaksanakan adalah untuk mempertingkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar sebelum terlambat.

    ReplyDelete
  3. jagalah alam sekitar kita.

    ReplyDelete
  4. tanggungjawab menjaga alam sekitar bukan hanya terletak dibahu kerajaan dan NGO semata2.. orang awam juga perlu memikul tanggungjawab yang sama..

    ReplyDelete
  5. jika hanya sebelah pihak sahaja yang memainkan peranan sedangkan pihak yang satu lagi terus menyumbang kepada pencemaran dan kerosakkan alam sekitar, usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar tidak akan berkesan sampai bila2..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...