Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman menegaskan Hak Tanah Adat
Anak Negeri (NCR) adalah keutamaan dan prioriti kerajaan negeri.
Sehubungan
itu, katanya, kerajaan sentiasa terbuka menerima teguran dan cadangan
yang membina untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian
perkhidmatan bagi mening- katkan tahap pemeliharaan dan perlindungan NCR
dan hak pemilikan tanah oleh anak negeri Sabah.
“Isu NCR tidak
seharusnya diputar-belit kerana ia menyentuh kepentingan orang asal,
sebaliknya setiap pihak harus memberikan sokongan bagi memastikan
isu-isu berkaitan NCR dapat diselesaikan dengan baik demi menjaga
kepentingan dan hak asasi orang asal negeri Sabah,” katanya.
Beliau
berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) Kawasan Kunak Datuk Nilwan Kabang, pada sesi soal jawab,
persidangan dewan undangan negeri di Dewan Undangan Negeri, di sini,
kelmarin.
Musa berkata, bagi memastikan lebih ramai orang asal
mempunyai tanah, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif untuk
menukarkan rizab hutan kepada tanah kerajaan.
“Saya secara
peribadi akan memastikan prinsip menjaga, memelihara dan melindungi
kepentingan hak-hak orang asal, akan sentiasa didahulukan.
“Oleh
itu saya berharap, tidak ada lagi pihak yang akan memanipulasikan
perkara berkaitan NCR, sebaliknya bekerjasama membantu menyelesaikan
apa-apa sahaja perkara berkaitan NCR demi kepentingan dan hak-hak orang
asal negeri Sabah.






