Kerajaan Persekutuan sentiasa berusaha membantu mengurangkan kos sara
hidup dan meningkatkan pendapatan isi rumah bagi penduduk Sabah, kata
Menteri Kewangan Kedua, Dato’ Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.
Katanya,
kerajaan juga sedar akan cabaran yang dihadapi oleh negeri Sabah,
terutamanya kos sara hidup yang tinggi, infrastruktur yang tidak
menyeluruh, jurang perbezaan taraf hidup yang ketara antara penduduk
bandar dan luar bandar serta kekurangan modal insan yang mahir dan
berbakat.
“Isu tersebut perlu ditangani dengan sewajarnya untuk
memastikan pertumbuhan yang mampan dan menyeluruh di Negeri ini,” kata
Ahmad Husni ketika memberi ucapan perasmian Majlis Konsultasi Bajet 2014
Sabah, di sini, kelmarin.
Untuk itu antara program dan inisiatif
yang telah dilaksanakan adalah program 1Azam, pemberian Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M), penyeragaman harga, pemberian subsidi pengangkutan
serta Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), katanya.
Di samping itu
katanya, program Skim Latihan 1Malaysia serta usaha menaik taraf
Institusi Latihan yang telah dilaksana akan turut meningkatkan kemahiran
dan pendapatan belia di Sabah.
“Kesemua langkah ini turut
menyumbang ke arah pengurangan kadar kemiskinan isi rumah Sabah daripada
19.7 peratus pada tahun 2009 kepada 8.1 peratus pada tahun 2012,”
katanya.
Dalam pada itu, secara amnya ekonomi Sabah terutama dalam
sektor perkhidmatan dan pembuatan telah menyumbang hampir 6 peratus
kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara, katanya.
Juga,
pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) telah berjaya meyakinkan
para pelabur dan masyarakat perniaga terhadap prospek ekonomi Negeri,
katanya.
Sementara itu, Kerajaan telah mengumumkan penubuhan
Jawatankuasa Polisi Fiskal bagi mengurangkan defisit fiskal Negara,
mengukuhkan kedudukan kewangan dan memastikan kemapanan fiskal dalam
jangka panjang, katanya.
Katanya, Jawatankuasa ini akan disokong dengan penubuhan sebuah pejabat polisi fiskal di Kementerian Kewangan.
“Ini
menunjukkan komitmen Kerajaan bagi meningkatkan pengurusan fiskal
Negara dan mencapai sasaran bajet berimbang pada tahun 2020,” katanya.
Justeru
katanya, Kerajaan akan meneruskan langkah konsolidasi fiscal dengan
sasaran defisit Kerajaan Persekutuan berkurangan daripada 4.5 peratus
kepada KDNK pada tahun 2012 kepada empat peratus pada tahun ini dan
seterusnya sekitar tiga peratus pada tahun 2015.
Katanya, langkah
ini dilaksanakan melalui inisiatif transformasi fiscal tanpa menjejaskan
momentum pertumbuhan ekonomi Negara dan kesejahteraan rakyat.
Sementara
itu, dalam usaha merealisasikan matlamat Malaysia menjadi sebuah negara
maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, Kerajaan sentiasa memantau
dengan rapi akan perkembangan persekitaran ekonomi global dan kegiatan
ekonomi domestik bagi mengatasi halangan dan cabaran yang boleh
menjejaskan usaha pembangunan negara.
Katanya, hal ini terbukti
dengan prestasi ekonomi Malaysia yang telah mencatatkan momentum
pertumbuhan sebanyak 4.2 peratus pada tempoh separuh pertama tahun 2013
walaupun berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang tidak menentu dan
mencabar.
Pertumbuhan ini disokong oleh permintaan domestik yang
kukuh terutamanya oleh pelaburan swasta yang terus cergas, dengan
mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu sebanyak 11.9 peratus.
“Di
samping itu, keyakinan pelabur semakin meningkat selepas Pilihan Raya
Umum ke-13 (PRU13) di mana indeks Bursa Malaysia (FBMKLCI) telah
mencatat paras tertinggi sebanyak 1,810 mata pada 24 Julai 2013”.
“Perkembangan
yang menggalakkan ini berikutan pengurusan makroekonomi yang pragmatik
dan asas ekonomi yang kukuh, persekitaran perniagaan yang kondusif serta
aktiviti ekonomi yang pelbagai,” katanya.
Sementara itu, Majlis
Konsultasi Bajet 2014 Sabah yang dihadiri lebih 200 wakil dari Jabatan
Persekutuan Negeri, Badan Berkanun Persekutuan, Kementerian Kerajaan
Negeri, Badan Berkanun Negeri, sektor swasta dan NGO ini merupakan
susulan Majlis Konsultasi Bajet 2014 yang telah diadakan di Putrajaya
pada 18 Jun lalu.
Katanya, majlis seumpama ini sangat penting
sebagai platform untuk Kerajaan khususnya Kementerian Kewangan
berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat mengenai langkah-langkah
yang sesuai untuk diumumkan dalam Bajet 2014.
“Majlis ini akan
membuahkan idea baru yang secara langsung merancakkan lagi pertumbuhan
ekonomi Sabah dan Malaysia secara amnya,” katanya sambil menyatakan
langkah ini selaras dengan usaha transformasi nasional bagi menjamin
kemakmuran Negara dan kesejahteraan rakyat secara berterusan.
Dalam
pada itu, Ahmad Husni berkata kesempatannya berada di Negeri ini turut
diambil untuk melawat lokasi bangunan yang sedang diubah suai menjadi
sebuah Pusat Transformasi Bandar (UTC), berdekatan dengan Wisma MUIS, di
sini.
Katanya, kewujudan UTC yang terbaru dibina oleh
Kementeriannya ini merupakan inisiatif Kerajaan bagi memastikan rakyat
dapat berurusan dengan pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan
Negeri dan syarikat swasta dengan lebih efisien dalam satu bangunan.
Selain Sabah, Negeri- Negeri yang telah mempunyai UTC sendiri adalah Melaka, Kuala Lumpur, Perak, Pahang dan Kedah, katanya.
Turut
hadir, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Teo Chee Kang, Ketua Setiausaha
Perbendaharaan Negara, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah,
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman, dan Setiausaha
Persekutuan Sabah, Dato’ Abu Bakar Hassan.
Sumber: New Sabah Times
0 comments:
Post a Comment