Wednesday, June 12, 2013

Pembangkang tunjuk belang

Posted by Smookiekins On 6/12/2013 10:59:00 AM
Boikot sesi taklimat Ahli Dewan Rakyat Parlimen Ke-13

Kuala Lumpur: Pakatan pembangkang yang menang 89 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bulan lalu, mula menunjukkan belang apabila memboikot sesi taklimat Ahli Dewan Rakyat Parlimen Ke-13, semalam. 

Dalam sesi taklimat bermula jam 9.30 pagi itu, hanya Ahli Parlimen Bakri dari DAP, Er Teck Hwa, hadir. Bagaimanapun, Teck Hwa mungkin dikenakan tindakan disiplin kerana melanggar keputusan memboikot sesi itu. 

Kalau mereka menghormati Parlimen, institusi di mana mereka bekerja dan bertanggungjawab, mereka harus datang,” Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Yang Dipertua Dewan Rakyat


Diminta beri penjelasan

Ketua Whip DAP, Anthony Loke Siew Fook yang juga Ahli Parlimen Seremban, berkata Teck Hwa diberi tempoh tujuh hari untuk memberi penjelasan berhubung tindakannya melanggar prinsip bersama pakatan pembangkang memboikot majlis itu sebelum dirujuk ke Jawatankuasa Disiplin parti.

Teck Hwa ketika ditemui di bangunan Parlimen menjelaskan beliau hadir pada sesi taklimat itu bagi mendapatkan maklumat serta perkembangan terkini berhubung sidang baru Parlimen.


“Walaupun pembangkang memboikot sesi taklimat ini, saya hadir sebagai wakil rakyat kerana taklimat ini penting untuk mengetahui garis panduan baru serta mempelajari peraturan yang perlu diikuti,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengakui Ahli Parlimen parti itu memboikot sesi taklimat berkenaan, tetapi akan hadir pada majlis angkat sumpah 24 Jun ini.


Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada sidang media selepas merasmikan majlis taklimat itu, berkata tindakan pembangkang menyulitkan usaha pihak pentadbir Parlimen untuk memberi penerangan dan mendapatkan butiran peribadi.

“Kalau mereka menghormati Parlimen, institusi di mana mereka bekerja dan bertanggungjawab, mereka harus datang,” katanya yang enggan membuat spekulasi kemungkinan pembangkang akan turut memboikot majlis angkat sumpah.

Sesi taklimat itu disampaikan Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah dan Ketua Pentadbir Parlimen, Datuk Lamien Sabiyo.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tindakan wakil rakyat pembangkang itu menggambarkan mereka tidak layak menjadi Ahli Parlimen.

Malah, beliau menyifatkan mereka sebagai pemimpin tidak beradab pada rakyat, pecah amanah dan tidak bertanggungjawab terhadap mandat yang diberikan pada PRU-13.

“Sifat orang munafik ialah apabila bercakap dia bohong, bila janji dia mungkir, bila dia bercakap atau berdebat dia berlebih-lebihan, bila diberi amanah, dia pecah amanah,” katanya.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh pula meminta pemimpin pembangkang tidak mengkhianati amanah rakyat yang memilih mereka pada PRU-13.

“Kita perlu hormati keputusan rakyat, ini masa untuk membangunkan negara menjadi negara yang hebat... saya menyeru mereka sama-sama datang ke Parlimen dan bincang apakah yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa turut membidas tindakan pembangkang yang disifatkannya tidak `gentleman’ kerana lebih berminat bersuara di jalanan berbanding di Parlimen.


Sumber: Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...