Wednesday, June 5, 2013

Belia diseru pertahan budaya bangsa agar tidak ditelan zaman

Posted by Smookiekins On 6/05/2013 03:44:00 PM
Golongan belia di negeri ini bukan sahaja diseru memartabatkan budaya bangsa malah perlu mempelajari bahasa ibunda suku masing-masing agar tidak luput ditelan zaman.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat, Datuk Hamisa Samat berkata ia penting sebagai lambang identiti suku masing-masing.

Menurutnya, penguasaan bahasa ibunda perlu dipelajari agar keunikan kepelbagaian suku dan bahasa di negeri ini dapat dikekalkan.

“Jangan sehingga bahasa kita dilupakan kerana bahasa melambangkan bangsa, hilang bahasa keturunan kita turut hilang identiti, maka bangsa menjadi tidak bermaya lagi.

“Kita perlu memberi perhatian serius terhadap perkara ini kerana ianya mempunyai implikasi terhadap bangsa kita di masa akan datang sekiranya tidak ditangani lebih awal,’’katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersama-sama memeriahkan Sambutan Hari Gawai oleh masyarakat Iban di Kampung Iban, Kuala Merotai, di sini.

Katanya, ibu bapa perlu memainkan peranan mendidik dan mengajar anak-anak sehingga boleh berkomunikasi dalam bahasa ibunda dan membudayakannya di rumah.

“Kurang penggunaan bahasa Ibunda dalam pertuturan seharian di rumah merupakan antara punca mengapa generasi hari ini gagal menguasai bahasa Ibunda mereka,’’katanya.

Sementara itu, sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai katanya, berupaya menjadi platform untuk sanak saudara dan keluarga berkumpul beramah mesra selain mengeratkan silaturahim serta membuktikan keunikan masyarakat negeri ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Batu berkata, keunikan sambutan pesta ini yang turut dikongsi oleh suku kaum lain menjadikan negeri ini sebagai contoh kepada perpaduan nasional.


Sumber: New Sabah Times
Reactions:

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...