Wednesday, June 5, 2013

Masyarakat luar bandar digesa supaya melibatkan diri secara aktif dengan pelbagai program yang dianjurkan oleh agensi kerajaan dan swasta bertujuan yang meningkatkan taraf hidup dan masa depan yang lebih terjamin.

Pembantu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Joachim Gunsalam, berkata, ini termasuk penglibatan masyarakat terutama pelajar dan ibu bapa dalam program perkongsian pintar, anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mengadakan program pendidikan luar sejak beberapa tahun lalu di seluruh daerah di negeri ini.

Katanya, program yang bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat dan pelajar terhadap kepentingan pendidikan dalam membuat perubahan masa depan sesebuah masyarakat, terutama generasi pelajar.

Katanya, ini selaras dengan usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran dalam memastikan generasi hari ini dan akan datang mempunyai tahap minda kelas pertama, bagi membolehkan masa depan negara diwarisi oleh golongan berpendidikan tinggi serta berintegriti.

“Masa depan negara kelak akan diwarisi oleh generasi hari ini yang sudah tentu akan berhadapan dengan cabaran yang cukup hebat dan memerlukan ilmu pengetahuan, kemahiran serta nilai patriotisme yang tinggi, semua ini adalah berlandaskan kepada tahap pendidikan yang secukupnya,” katanya selepas merasmikan program Outreach Kawiyan, baru-baru ini.

Program anjuran Sekolah Pendidikan Dan Pembangunan Sosial, Unit Penyelidikan Pendidikan Luar Bandar UMS) kelolaan pelajar sarjana Pendidikan (Kurikulum) UMS dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Ranau, Persatuan warga Prihatin Sabah (SUEC) serta Persatuan Wartawan Keningau (KJA).

Hadir sama Ketua Unit UPPLB,UMS Dr Khalid Johari; Pengarah Program Justin Nuin; Guru Besar SK. Kawiyan Sakimin Jumil, Pengerusi Siaraya Jawatankuasa Induk Pelaksana Program Fredolin Inggam serta pemimpin masyarakat dan penduduk setempat.

Terdahulu berucap di majlis itu, Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kundasang, berkata program yang bertemakan ‘skill up education’ itu merupakan aktiviti perkongsian pintar UMS dengan masyarakat setempat yang julung kali diadakan dan sangat memberi manfaat kepada penduduk di luar bandar.

Katanya, Kampung Kawiyan yang jauh di daerah Ranau dengan perjalanan 2 jam, masih menjadi pilihan Institusi Pendidikan Awam untuk mengadakan program bersama masyarakat.

“Kita sangat beruntung kerana walaupun jauh diceruk pedalaman, tetapi masih menjadi destinasi pilihan agensi pendidikan, khususnya UMS, maka adalah wajar kita mengambil peluang ini untuk menyertai sepenuhnya selain berpeluang berkongsi pandangan serta motivasi diri anak-anak untuk terus berusaha untuk sampai ke pengajian tinggi,” katanya.

Katanya, pendidikan adalah antara aset penting perubahan dalam sesebuah keluarga selain menjamin masa depan negara dan rakyat yang berpendidikan untuk menjadi pelapis kepimpinan akan datang.

“Saya percaya dan yakin program ini akan meningkatkan kesedaran, semangat masyarakat khususnya pelajar luar bandar dalam mencapai kejayaan seterusnya menyumbangkan kepada perubahan ekonomi dan sosial masyarakat hari ini da akan keluarga,” katanya.

Sempena program itu, pelbagai aktiviti dijalankan, antaranya teknik dan kemahiran pembelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Program dimeriahkan lagi dengan penyertaan agensi kerajaan yang turut memberi ceramah kerjaya iaitu GiatMara, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertanian Ranau, Sukan Rakyat serta persembahan kebudayaan 1Malaysia.


Sumber: New Sabah Times
Reactions:

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...