Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau berjaya
mematahkan cubaan menyeludup keluar 3,300 kilogram minyak masak dan 600
kilogram tepung gandum dari Sungai Melayu, Pulau Sebatik di sini
kelmarin.
Ketua Penguatkuasa Maritim Tawau, Komander Maritim Anor
Hj Jaafar berkata ketika Bot Kilat milik APMM melakukan rondaan jam
11.40 pagi di sekitar perairan Batu-Batu, pihaknya telah memeriksa
sebuah bot jongkong di kawasan itu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan
itu pihaknya mendapati sorang juragan berumur lingkungan 20-an berada
dalam bot tersebut dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah
berserta muatan barang-barang kawalan itu.
“Ramadhan yang bakal
menjelang tidak lama lagi telah mengundang penyeludupan barang kawalan
ini yang dipercayai untuk persiapan kerana berkemungkinan barangbarang
tersebut sukar didapati dan bakal dinaikkan harga,’’ katanya lagi.
Katanya,
juragan bot tersebut akan disiasat dibawah Akta Imigresen serta Akta
Kawalan Bekalan 1961 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang
sah serta cubaan menyeludup keluar barang kawalan.
Jelasnya, APMM
akan terus menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan di perairan Sabah
khususnya perairan Tawau bagi memastikan tiada sebarang bentuk jenayah
yang berlaku.
“APMM turut berharap kegiatan penyeludupan barang
kawalan ini dapat diatasi supaya semua penduduk Tawau dapat menyambut
ketibaan Ramadhan dengan senang hati,’’ katanya dalam satu kenyataan di
sini.
Tambahnya, sebarang maklumat mengenai kegiatan penyeludupan
boleh menghubungi talian Hotline APMM Tawau di talian 089-750116 /
089-752115.
Sumber: New Sabah Times
0 comments:
Post a Comment