Friday, March 22, 2013

Keputusan SPM Sabah meningkat

Posted by Smookiekins On 3/22/2013 04:06:00 PM

TAMPARULI: Pencapaian peratus kelulusan keseluruhan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 di negeri ini meningkat sebanyak 0.26 peratus iaitu 94.31 peratus pada tahun 2012 berbanding 94.05 peratus pada tahun sebelumnya.

Pengarah Pelajaran Negeri Sabah Jame Alip berkata, peratus lulus negeri juga berjaya mengatasi pencapaian kebangsaan sebanyak 3.21 peratus. Peratus lulus kebangsaan ialah 91.1 peratus.

“Daripada seramai 33,535 orang calon sekolah menengah kebangsaan yang menduduki peperiksaan SPM, seramai 31, 626 calon berjaya mendapat sijil SPM iaitu dengan memenuhi syarat sekurang-kurangnya lulus mata pelajaran Bahasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan SPM 2012, di SMK Tamparuli, di sini, kelmarin.

Jame berkata, daripada keseluruhan calon SPM 2012, seramai 199 orang berjaya dengan cemerlang memperolehi gred A (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 187 calon pada tahun 2011.

“Dua calon memperolehi A+ keseluruhan bagi semua mata pelajaran, manakala 197 orang memperolehi A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

“Bilangan pelajar yang lulus semua mata pelajaran juga telah bertambah iaitu seramai 17,247 atau 51.43 peratus berbanding 16,848 atau 51.40 peratus pada tahun 2011,” katanya.

Di samping itu katanya, terdapat peningkatan calon yang berjaya mendapat sekurang-kurangnya gred C bagi semua mata pelajaran dalam SPM 2012 iaitu seramai 3,781 calon pada tahun 2012 meningkat sebanyak 1,213 orang berbanding 2,568 calon pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun katanya, Gred Purata Negeri (GPN) pada tahun 2012 menunjukkan penurunan sebanyak 0.08 berbanding tahun 2011.

Jame berkata, sebanyak 98 mata pelajaran telah diambil oleh calon-calon SPM di Sabah dan daripada jumlah itu 61 mata pelajaran menunjukkan pencapaian 100 peratus lulus.

“Manakala 16 mata pelajaran menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2011 dan 21 mata pelajaran menunjukkan penurunan.

“Kita akan mencari punca kelemahan yang ada supaya mata pelajaran yang menunjukkan penurunan pencapaian dapat ditingkatkan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Berkenaan dengan pencapain sekolah-sekolah cemerlang, beliau berkata sebanyak 10 buah sekolah di Sabah mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) cemerlang iaitu SM Sains Lahad Datu, SM Sains Kota Kinabalu, SM St.Micheal Penampang, SM Lok Yuk Likas Kota Kinablu, SMK Tawau, SMK Agama Inanam, SM St. Patrick Tawau, SMU.Islamiah Tawau, SM All Saints Likas dan SM Teknik Keningau.

Beliau berkata, bilangan sekolah yang mencapai 100 peratus lulus meningkat iaitu sebanyak 28 buah sekolah pada 2012 berbanding 19 buah sekolah pada tahun sebelumnya.

“Sekolah-sekolah itu ialah SM Sains Lahad Datu, SM Sains Sabah Kota Kinabalu, SM St.Micheal Penampang, SMK Agama Inanam, SMU Islamiah Tawau, SMK Agama Kota Kinabalu, SMK Agama Sandakan, SMK Kuhara Tawau, SMK Agama Limauan Papar, SM Chung Wah Tenom, SM Stella Maris Kota Kinabalu, SMKA Mohamad Ali Ranau dan SMK Titingan Tawau.

“SMK Bundu Tuhan, Ranau, SMKA Tun Sakaran Semporna, SMKA Tun Said Kota Belud, SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, SMK Matunggong Kudat, SMK Vokasional Beaufort, SMK Tenghilan Tuaran, SMK Ulu Sapi Telupid, SM St.James Tuaran, SMKA Al-Irsyadiah Marakau Ranau, SMK Terusan Sugut, Beluran, SMK Ulu Sugut Ranau, SMK Sandakan, SMK Wakuba Tawau dan SMK Beaufort III,” katanya.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...