Wednesday, April 24, 2013

Perkataan kalah tiada dalam kamus BN: Ewon

Posted by Smookiekins On 4/24/2013 02:30:00 PM


RANAU: Calon Parlimen Ranau pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Datuk Dr Ewon Ebin berkata, perkataan kalah sama sekali tidak masuk atau tersenarai dalam kamus Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, sejak BN memerintah berdekad yang lalu perkataan kalah itu tidak pernah wujud kerana setiap pilihan raya yang dilalui, BN sentiasa sahaja memenanginya dengan majoriti besar.

Katanya, hanya pada pilihan raya 2008 BN tidak memperolehi majoriti 2/3 kerana terdapat perselisihan faham bukan sahaja dalam komponen parti tetapi dalam parti itu sendiri.

Menurut beliau akibat perselisihan itu sokongan kepada BN pada masa itu menurun di mana sebanyak 40 peratus orang melayu, 65 peratus orang India dan 70 peratus orang Cina tidak mengundi calon-calon BN.

Bagaimanapun keputusan pilihan raya itu masih memihak kepada kemenangan BN dimana pihak pembangkang hanya memperolehi 80 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen seluruh negara.

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil-alih tampuk pemerintahan pada 2009 sebagai Perdana Menteri, keadaan telah berubah akibat banyak pembaharuan, pembaikan dan pembangunan dari segala segi dan bidang melalui transformasi kerajaan.

“Keadaan ini memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada seluruh masyarakat dari segenap lapisan, lantaran sokongan orang Melayu dan India meningkat begitu tinggi dan kukuh,” katanya.

“Percakaran dan ketidak-sepakatan pemimpin dalam Pakatan Rakyat akibat pendirian dan ideologi yang sangat bertentangan juga menyebabkan ramai penyokong pihak pembangkang akhir-akhir ini menyertai BN, tegasnya.

“Jadi, janganlah terpedaya dengan cerita-cerita kedai kopi yang mendakwa pembangkang akan menduduki Putrajaya selepasPRU13,” katanya ketika berucap di perjumpaan dengan penduduk kampung Sokid, Bundu Tuhan kira-kira 26 kilometer dari pekan.

Beliau turut menyatakan keyakinan yang tinggi bahawa semua calon-calon BN daerah Ranau akan menang dalam PRU13memandangkan kesefahaman dan perpaduan yang sangat erat antara pemimpin dan parti komponen BN di sini.

Terdahulu, Calon BN bagi Kundasang Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata rakyat pasti akan merasa sia-sia sekiranya mengundi pihak pembangkang yang tidak mempunyai ikatan atau persatuan yang nyata.

Katanya, kalaupun Pakatan Rakyat itu ditakdirkan menang PRU13tetapi kerajaan mereka pasti tidak dapat dibentuk malah menjadi kucar-kacir kerana mereka mempunyai pendapat, konsep serta aspirasi politik yang berbeza dan bertentangan.

“Jawatan Perdana Menteri yang belum diputuskan oleh Pakatan Rakyat siapa yang bakal menyandangnya nanti pasti akan menjadi rebutan. Ini boleh menyebabkan kerajaan yang dibentuk itu tidak akan stabil. Apabila tidak stabil maka semua akan terbengkalai atau pendek kata negara akan menjadi mundur, tambahnya.

Oleh itu katanya, jangan berfikir banyak. Undilah calon-calon BN pada tanggal 5 Mei nanti bagi menjamin kerajaan yang aman, damai, harmoni serta maju dan hanya perlu untuk meneruskan pelbagai jenis pembangunan yang telah siap dirancang.

Turut hadir di majlis itu Ketua Bahagian parti PBS Paginatan Datuk Dr Othman Minudin dan pemimpin setempat.

Sumber : New Sabah Times 

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...