Tuesday, April 23, 2013

11 cawangan SAPP Tawau bubar, 500 anggota keluar parti beramai-ramai

Posted by Smookiekins On 4/23/2013 10:38:00 AM

TAWAU: Sebelas cawangan Parti Maju Sabah (SAPP) di Tawau bubar selepas kira-kira 500 anggotanya meninggalkan parti itu beramai-ramai dan menyokong Barisan Nasional.
Mereka termasuk Ketua Wanita SAPP Tawau yang juga Exco WanitaSAPP negeri Masja Hussin dan bekas Ketua Pemuda SAPP Tawau yang juga bekas Exco Pemuda SAPP Sabah Illiyassufyan Mohammad.


Bekas Naib Pengerusi SAPP Tawau Mohammad Dahuk berkata mereka dengan rela hati beramai-ramai meninggalkan SAPP kerana kecewa dengan kepimpinan parti berkenaan yang didakwa gagal menepati janji kepada rakyat di Tawau dan menyokong BN bagi memastikan kemenangan besar pada pilihan raya umum 5 Mei ini.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pengisytiharan pembubaran 11 cawangan Bumiputera SAPP Tawau dan kemasukan beramai-ramai ke dalam BN.


Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi BN Tawau Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan yang juga calon BN bagi DUN Apas, calon BN bagi Parlimen Tawau Datuk Mary Yap Kain Ching dan calon BN bagi DUN Sri Tanjong Fung Len Fui.


Pada majlis itu, selain membacakan ikrar menyokong BN, mereka turut menggunting dan mematahkan kad keanggotaan SAPPmasing-masing sebagai simbolik mereka sudah tidak bersama parti berkenaan.


Ketika ditemui, Masja berkata beliau meninggalkan SAPP kerana tidak yakin dengan keupayaan dan keikhlasan parti itu, khususnya di Tawau, untuk membela hak Bumiputera.


Sehubungan itu, beliau menasihatkan kaum Bumiputera yang masih berada dalam SAPP supaya meninggalkan parti berkenaan.


“Kami tidak minta dihargai tetapi hormatilah hak kami, jangan kami diperalat dan dipergunakan,” katanya.


Seorang lagi bekas anggota SAPP, Siti Raddah Abdul Sani, 55, berkata beliau amat kecewa dengan kepimpinan SAPP khususnya di Tawau kerana gagal melaksanakan tanggungjawab membela rakyat yang memerlukan seperti beliau.


“Hari ini, walaupun kurang sihat kerana menghidap darah tinggi, saya gagahkan juga untuk hadir pada majlis ini sebagai tanda sokongan saya kepada BN,” kata Raddah yang berasal dari Batu 4, Jalan Apas.


Raddah mendakwa pemimpin SAPP hanya muncul apabila parti itu memerlukan bantuan mereka untuk memenangi pilihan raya namun gagal membantu rakyat yang memerlukannya selepas menang.



Sumber : New Sabah Times 

1 comment:

  1. SAPP pasti makin lemah. rakyat Sabah pn tidak beri sokongan kepada SAPP

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...