Thursday, March 14, 2013

UMS tubuh pusat kajian keselamatan negara

Posted by Smookiekins On 3/14/2013 02:45:00 PM

Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menubuhkan sebuah pusat penyelidikan yang berfungsi sebagai pusat rujukan berkaitan hal ehwal negeri Sabah termasuk aspek keselamatan.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah berkata cadangan penubuhan pusat tersebut tercetus atas keprihatinan UMS terhadap isu-isu semasa seperti insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna.

Katanya pusat yang dinamakan Pusat Kajian Strategik Sabah akan menumpukan skop kajian yang merangkumi sejarah dan kedaulatan negeri Sabah selain aspek perundangan, keselamatan dan hubungan antarabangsa.

Ia telah diluluskan Lembaga Pengarah UMS pada 13 Feb lepas yang menggariskan tujuh Bidang Keberhasilan Utama Universiti (UMS-KRA).

"Setiap bidang masing-masing mempunyai objektif strategik tersendiri dan kejayaannya akan diukur menerusi KPI (Petunjuk Prestasi Utama)," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Naib Canselor 2013 di Dewan Canselor UMS, Likas dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Tan Sri Abdul Hamid Egoh.

Mohd Harun berkata antara UMS-KRA yang telah dilancarkan ialah Blueprint EcoCampus pada 7 Feb lepas yang terkandung dalam UMS-KRA yang ketujuh.

Menurut beliau, Pelan Strategik 2013-2017 itu julung kali menekankan aspek alam sekitar dalam pelan strategiknya.


"Dalam masa yang sama, pusat kajian ini juga menyelidik isu-isu persempadanan negara dan pulau di sekitar perairan Sabah selain mengadakan

penyelidikan berhubung peranan negeri ini dalam menentukan kestabilan ekonomi dan sosiopolitik rantau Asia Tenggara.


"Kejayaan setiap UMS-KRA ini memerlukan sumbangan, komitmen dan kerjasama daripada semua warga UMS," katanya.

Mohd Harun berkata UMS sentiasa memberi sokongan padu dan komitmen yang tinggi sebagai sebuah institusi yang sentiasa relevan dalam menyumbang kepada pembangunan dan pertahanan keselamatan negara.

Amanat yang bertema "Membina Budaya Cemerlang, Meneroka Harapan Masa Depan" turut menekankan pentingnya warga UMS mengamalkan budaya yang positif dan menepati masa demi mencapai kecemerlangan yang diharapkan.


Sumber: Sinar Harian

1 comment:

  1. tahap keselamatan negara kena dipertingkatkan.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...