Saturday, January 12, 2013

KM Sabah puas hati khidmat, pencapaian penjawat awam

Posted by Smookiekins On 1/12/2013 11:47:00 AM

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berpuas hati dengan perkhidmatan dan pencapaian penjawat awam di negeri ini dalam melaksanakan dasar dan program-program kerajaan.

Beliau berharap supaya penjawat awam melipatgandakan lagi usaha bagi mencapai lebih banyak kejayaan dan kecemerlangan pada tahun ini.

“Kita harus berusaha lebih gigih lagi bagi mencapai kejayaan, jangan mudah berputus asa dan yang lebih penting harus berusaha menghadapi pelbagai cabaran.

“Pencapaian atau kejayaan ini bukan diberikan kredit kepada seorang atau dua orang sahaja tetapi semua termasuk pemimpin kerajaan dan penjawat awam yang telah bekerjasama dan bekerja dalam satu pasukan melaksanakan dasar serta program yang telah dirancang oleh kerajaan negeri dan dibantu oleh kerajaan persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Ketua Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri, di Dewan Bankuasi Dewan Undangan Negeri, di sini, kelmarin.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Salleh Tun Said, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman, timbalan-timbalan ketua menteri, menteri-menteri, pembantu-pembantu menteri dan ketua-ketua jabatan.

Musa berkata, kerajaan negeri dan persekutuan mempunyai banyak perancangan untuk membangunkan lagi negeri ini seterusnya memberikan kesejahteraan kepada rakyat secara keseluruhannya.

“Memang saya akui kita ada kelemahan dan masih ada yang belum dicapai tetapi yang penting dengan adanya kerjasama antara pemimpin kerajaan dan kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan, kita pastinya mencapai kejayaan yang lebih membanggakan,” katanya.

Beliau juga menyeru pemimpin dan penjawat awan di negeri ini supaya sentiasa bekerjasama untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Saya ingin mengajak kita semua untuk mengamalkan 3C iaitu good communication (perhubungan baik) coordination (koordinasi) dan cooperation (bekerjasama) dalam menjalankan tugas dan amanah seharian.

“3C dalam jabatan dan kementerian, 3C antara satu jabatan dengan jabatan yang lain dan tentunya 3C antara satu kementerian dengan kementerian yang lain.

“Pendek kata 3C bagi menggalakkan semangat kerja berpasukan,” katanya.

Musa berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) amat berterima kasih kepada semua penjawat awam yang selama ini memberikan sokongan, dokongan dan kerjasama kepada kerajaan.

“Sudah tentu dengan adanya sokongan daripada kakitangan awam, maka setiap dasar dan program pembangunan yang kita rancang dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.

Musa berkata, atas sokongan berterusan itu kerajaan memberikan pelbagai penghargaan kepada penjawat awam termasuk memberikan bonus dan kenaikan gaji.

“Kita memberikan bonus dan kenaikan gaji kepada penjawat awam kerana kerajaan ada cukup kewangan untuk membayarnya,” katanya.

Dari segi pembangunan infrastruktur beliau berkata, kerajaan menyediakan peruntukan yang banyak dalam belanjawan negeri untuk membina dan memperbaiki kemudahan infrastruktur termasuk jalan raya di negeri ini bagi manfaat rakyat.

Pada majlis itu Musa turut menyampaikan sijil Penarafan Bintang atau Star Rating kepada 10 kementerian negeri.

Daripada 10 kementerian itu hanya satu yang berjaya mendapat penarafan 5 Bintang iaitu Kementerian Kewangan.

Kementerian lain iaitu Kementerian Pembangunan Perindustrian, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mendapat 4 Bintang.


Sumber: New Sabah Times

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...