Saturday, January 12, 2013

'Program Integrasi 1Malaysia' bersama AirAsia

Posted by Smookiekins On 1/12/2013 11:36:00 AM

PASTINYA tidak keterlaluan jika mengibaratkan ‘Program Integrasi 1Malaysia’ bersama AirAsia umpama sebuah jambatan yang menyatukan Masyarakat Borneo (Sabah dan Sarawak) dengan masyarakat di Semenanjung.

Program yang berlangsung pada 5 hingga 7 Januari 2013 lalu ini melibatkan seramai 50 delegasi dari Sabah dan 50 delegasi dari Sarawak yang terdiri daripada Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat, delegasi media dan juga pegawai pengiring.

Suasana di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (Terminal 2) menjadi begitu ceria dan indah di awal pagi itu apabila para peserta datang lengkap berpakaian tradisi mereka yang berwarna warni.

Walaupun terpaksa bersiap seawal jam 2 pagi namun, kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka beserta senyuman yang sentiasa terukir di bibir masing-masing.

Dari Kota Kinabalu ke Kuching, Sarawak, kesemua delegasi ini diterbangkan pula dengan menggunakan pesawat khas bagi menghadiri Majlis Pelancaran Program ini di Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang.

Majlis Pelancaran Program Integrasi 1Malaysia ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak.

Bertemu dengan Perdana Menteri kesayangan negara itu merupakan satu peluang yang dianggap terlalu istimewa bagi para peserta delegasi itu.

Dalam Majlis itu, Najib menyatakan penghargaannya di atas usaha AirAsia yang menganjurkan program ini bagi merapatkan perpaduan dan integrasi antara masyarakat Sabah, Sarawak dan Semenanjung itu.

Selepas melancarkan ‘livery’ khas pesawat 1Malaysia itu, Najib seterusnya menandatangani ruangan khas di hadapan kabin dan menulis ‘Integrasi Nasional Melalui 1Malaysia Air Asia’ di atasnya.

Jadi, para penumpang pesawat Airbus A320 yang menawarkan penerbangan percuma antara laluan Sabah, Sarawak dan Semenanjung bermula pada 14 Januari hingga 4 Februari itu akan berkesempatan menyaksikan tandatangan Pemimpin nombor satu negara itu di ruangan hadapan pesawat.

Buat para delegasi, tiada apa yang lebih bermakna melainkan dapat terbang di dalam satu pesawat bersama dengan Perdana Menteri dan juga isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Seterusnya pesawat yang dipandu oleh Kapten Ilyana Nazli Shah itu mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan.

Delegasi seterusnya dibawa ke Automotif DRB-HICOM di Pekan dengan menaiki bas dan menikmati juadah makanan tengah hari di sana.

Selepas itu para delegasi dibawa pula untuk melawat kilang pemasangan Mercedes-Benz yang terletak di kawasan Pekan.

Program Lawatan Intergrasi 1Malaysia ke Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu Kampung Pulau Serai, Pekan. Kemuncak bagi acara pada petang itu, kesemua delegasi mengunjungi Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu Kampung Pulau Serai, Pekan.

Di sana, para peserta diraikan dengan pelbagai persembahan istimewa sambil menikmati juadah tempatan di sana yang disediakan oleh para penduduk di Kampung itu.

Walau keletihan setelah melalui seharian perjalanan, namun para delegasi tetap ceria dan bergembira di Majlis tersebut apatah lagi telah dilayan dengan begitu istimewa oleh pihak tuan rumah.

Difahamkan idea bagi projek Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu Kampung Pulau Serai ini dicetuskan sendiri oleh Najib yang juga merangkap Ahli Parlimen Pekan.

Ia ditubuhkan bertujuan mewujudkan perumahan bersepadu yang komprehensif bagi menaik taraf hidup penduduk miskin di Daerah ini selain membantu penduduk memperolehi pendapatan tambahan melalui aktiviti ekonomi di dalam kawasan perumahan itu.

Selain dijamu dengan persembahan oleh para penduduk, para delegasi juga tidak melepaskan peluang menunjukkan tarian tradisional kebudayaan masing-masing.

Suasana menjadi gamat apabila para penduduk dari Kampung itu turut sama menari tarian tradisi masyarakat Sabah dan Sarawak selain peserta delegasi turut bersama menari tarian Joget Pahang.

Dalam Majlis berkenaan, Ketua Delegasi Sabah, Mohd Joh Wid, semasa berucap menyatakan Pekan telah menjadi titik pertemuan bagi pelbagai suku kaum dan etnik di Sabah dan Sarawak bersama dengan masyarakat di sini dan mereka mampu duduk bersama dalam suasana yang harmoni.

Mohd Joh turut memberitahu penduduk Pekan bahawa Perdana Menteri, pemimpin kesayangan mereka, diterima baik oleh seluruh masyarakat Sabah.

Sambil berterima kasih dan memuji usaha AirAsia yang menganjurkan Program ini, Mohd Joh turut menyampaikan mesej dengan berkata, “Semua kaum di Sabah hidup aman dan makmur di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman dan akan terus membangun di bawah sokongan Perdana Menteri bersama Timbalannya, Datuk Seri Muhyiddin Yassin.”

Kenangan Manis Yang Dibawa Pulang

Peserta delegasi ‘Program Integrasi 1Malaysia’ bersama AirAsia ternyata tidak akan melupakan segala kenangan manis yang diperolehi sepanjang program ini berlangsung.

Apa tidaknya, selain berkesempatan menaiki satu pesawat bersama Perdana Menteri, melawat kawasan Parlimen pemimpin kesayangan negara itu, mereka juga dijemput untuk melawat dan menikmati hidangan tengah hari di Kediaman Rasmi Perdana Menteri, di Seri Perdana, Putrajaya.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri yang sanggup meluangkan masa menerima rombongan kami dan menunjukkan komitmen yang tinggi sebagai pemimpin dan meraikan rakyat yang datang dari jauh ini,” kata Saat Ag. Damit, wakil rombongan dari Sabah ketika berucap di Majlis Makan Tengah Hari itu.

Jelasnya, penghormatan yang paling dirasai adalah apabila Perdana Menteri dan isteri sendiri sanggup bersama dalam penerbangan AirAsia ke Kuantan, Pahang.

“Komitmen ini jelas menunjukkan gagasan rakyat didahulukan dapat dirasai oleh kami,” kata Saat yang juga merupakan wakil dari Suku kaum Brunei.

Sambil menyatakan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada AirAsia yang telah menjayakan program ini, Saat berkata dalam konteks Sabah dan Sarawak yang dipisahkan oleh Laut Cina Selatan, kedua-dua negeri ini hanya dapat didekatkan dengan masyarakat di Semenanjung melalui sistem penerbangan sahaja, dan itu pun hanya kepada mereka yang mampu.

“Sekiranya tidak ada syarikat penerbangan seperti AirAsia yang prihatin dan sanggup menaja Program ini sudah tentu integrasi tiga Wilayah besar ini tidak dapat dicapai,” katanya.

Selain itu, menurut seorang wakil dari Suku kaum Kokos, Syakirah Roland, yang berasal dari Tawau, melalui Program seumpama ini, mereka dapat mengenali suku kaum di Sarawak dengan lebih dekat.

“Sebelum ini, walaupun Sabah dan Sarawak berasal dari satu Borneo, namun kami masih tidak mengetahui tentang adat dan budaya masing-masing,” katanya sambil menyatakan peluang berkunjung ke Pekan juga memberi peluang kepadanya untuk beramah mesra dengan masyarakat di Semenanjung.

Hal ini turut diakui oleh rakannya, Azlan Marasau, yang mewakili Suku kaum Bajau Semporna dengan menyatakan ternyata masyarakat Semenanjung sangat berbudi dan ramah.

“Saya akan pulang ke Sabah dan memberitahu rakan-rakan di sana bahawa masyarakat di Semenanjung tidak seperti yang disangkakan sebelum ini dan diharap segala sentimen perkauman yang pernah wujud antara kedua-dua masyarakat ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Majad Halim yang mewakili Suku kaum Bajau Sama menyatakan rasa terharunya kerana berpeluang menaiki satu pesawat bersama Perdana Menteri dan isteri.

“Manalah kita mau (mahu) cari lagi Pemimpin seperti ini yang duduk satu kapal dengan rakyat, makan apa yang dimakan oleh rakyat.

“Juga saya berasa amat terharu apabila dijemput untuk makan tengah hari di Kediaman Rasmi Perdana Menteri, siapalah saya ini sehingga dilayan dengan begitu baik sekali di sana,” katanya.

Sementara itu, wakil dari Masyarakat Cina Sarawak, Temenggong Lu Kim Yong, menyatakan Program ini merupakan satu peluang terbaik bagi ketiga-tiga masyarakat iaitu dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk saling mengenali.

“Walaupun kami semua berbeza keturunan, kaum, budaya dan juga tempat, namun siapa sangka kami boleh menjadi kawan dan berjalan di sekitar Pahang dan Kuala Lumpur bersama-sama,” katanya.

Juga, Lu berpendapat Malaysia mempunyai seorang Perdana Menteri yang sangat prihatin terhadap nasib rakyat terutamanya yang tiggal di Sabah dan Sarawak.

Oleh itu katanya, semua peserta delegasi termasuk dirinya sendiri harus memainkan peranan penting dengan menyampaikan mesej kepada penduduk di sana bahawa Sabah dan Sarawak harus memilih Kerajaan yang sedia ada untuk terus memerintah dan membawa negara ini ke mercu kejayaan di masa hadapan.


Sumber: New Sabah Times
Reactions:

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...