Thursday, November 1, 2012

K'jaan negeri terus sokong DBP jayakan pelbagai program

Posted by Smookiekins On 11/01/2012 12:57:00 PM

Kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan dan kerjasama jitu kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi menjayakan pelbagai program demi memartabatkan bahasa dan sastera di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata, ini selaras dengan tema sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan iaitu “1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara”.

“Dalam konteks sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan ini, saya yakin ia merupakan satu pendekatan yang signifikan untuk terus menyemarakkan rasa kecintaan dan kemegahan rakyat Malaysia khususnya golongan muda terhadap bahasa kebangsaan.

“Semangat cinta akan bahasa kebangsaan perlu disemai secara kreatif dan terus-menerus agar rakyat sentiasa memartabatkan bahasa Melayu sebagai unsur penting dalam pembentukan tamadun bangsa Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 peringkat Negeri dan Pelepasan Konvoi Kembara Bahasa, di Wisma Innoprise, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Azizah Mohd Dun, Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Sambutan Bulan Kebangsaan Tan Sri Sukarti Wakiman, Ketua Pengarah DBP Dr.Awang Sariyan dan Pengarah DBP Cawangan Sabah Jamaluddin Mohd Sulong.

Musa berkata, kerajaan negeri juga sentiasa mengalu-alukan pelbagai usaha dan inisiatif DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sekaligus menjadikannya sebagai citra bangsa Malaysia yang mempunyai jati diri dan kekuatan sendiri.

“Saya menyeru semua pihak agar terus berusaha memartabatkan bahasa dan sastera sebagai lambang jati diri rakyat 1Malaysia.
“Ini termasuklah di sektor awam dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin di peringkat akar umbi dan rakyat pada keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata, bagi menjayakan matlamat ini, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan yang menjadi wadah perpaduan rakyat Malaysia.

“Semua pihak perlu berganding bahu untuk memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan tanpa mengira perbezaan kaum mahupun status sosial,” katanya.

Musa berkata arus globalisasi sentiasa mendominasi dan mewarnai perubahan pemikiran dan corak kehidupan rakyat, bagaimanapun perubahan itu perlu ditangani dengan bijaksana.

“Kita tidak mahu dalam proses kita memacu pembangunan dan kemajuan, bahasa Melayu dipinggirkan.
“Begitu juga dengan usaha untuk mempertingkatkan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan.

“Apa yang penting ialah gerakan seperti ini mestilah dilaksanakan dengan semangat dan keterlibatan segenap lapisan rakyat sama ada di bandar mahupun di luar bandar,” katanya.

Konvoi Kembara Bahasa yang akan melalui beberapa daerah di negeri ini iaitu Kudat, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau, bermula kelmarin dan berakhir pada 5 November ini.


Sumber: New Sabah Times

4 comments:

  1. semoga bahasa dan sastera negara dapat dimartabatkan melalui usaha2 DBP.

    ReplyDelete
  2. Semoga program2 yang dianjur mencapai objektif

    ReplyDelete
  3. manfaatkan usaha-usaha DBP

    ReplyDelete
  4. kita harus tingkatkan martabat, bahasa, bangsa dan negara kita.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...