Kementerian Pendidikan sedia kemudahan 4G akhir tahun
Kuala
Lumpur: Kementerian Pendidikan bercadang memperkenalkan pembelajaran
secara maya menggunakan telefon pintar seperti iPhone dan telefon
Windows, pada masa depan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga
Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini membolehkan
pengajaran dan pembelajaran (P&P) dijalankan di mana-mana dan pada
bila-bila masa.
Katanya, di rantau Asia Pasifik, penggunaan telefon
pintar semakin popular dengan kemudahan seperti internet tanpa wayar,
rangkaian 3G atau 4G untuk meningkatkan P&P.
Kemudahan 1BestariNet
“Dalam
pelan tindakan pendidikan negara, kita akan menyediakan kemudahan 4G
melalui 1BestariNet dan persekitaran pembelajaran maya (VLE) membabitkan
lebih 10,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara menjelang
akhir tahun ini. Kita juga menyasarkan semua guru terlatih dan cekap
dalam VLE menjelang 2015.
“Pembelajaran mudah alih atau
m-pembelajaran dan pembelajaran di mana-mana atau u-pembelajaran adalah
dua trend untuk mengukuhkan inisiatif e-pembelajaran kita,” katanya
ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Pendidikan ‘Digital Education
Show Asia’ 2013 di sini, semalam. Teks ucapannya dibacakan Timbalan
Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching.
3 gelombang pembangunan
Muhyiddin
berkata, kementeriannya sudah menggariskan tiga gelombang pembangunan
untuk perubahan sistem pendidikan negara dengan meningkatkan penggunaan
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Katanya, pembabitan guru
dan integrasi ICT dalam P&P adalah faktor utama bagi menjayakan
matlamat itu dan ia juga sejajar matlamat Wawasan 2020 menerusi
inisiatif dalam teleperubatan, e-kerajaan, pendidikan dan industri.
Beliau
yakin peningkatan integrasi ICT dalam P&P akan merubah sistem
hafalan tradisional kepada pendekatan konstruktivis yang melahirkan
pelajar berfikiran kreatif, kritikal dan berinovasi.
Sumber: Berita Harian
0 comments:
Post a Comment