Kerajaan sedia menerima pandangan
dan cadangan pelbagai pihak mengenai Perjanjian Perkongsian
Trans-Pasifik (TPP) sebelum ia dimuktamadkan akhir tahun ini.
Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed
berkata, pelaksanaan TPP akan memastikan kepentingan ekonomi negara
tetap terpelihara, terutamanya untuk sektor perusahaan kecil dan
sederhana (PKS) dan juga usahawan Bumiputera.
“Proses ini
masih berterusan dan pihak kerajaan sedia bekerjasama dengan pelbagai
pihak dan menerima pandangan umum.” “Pandangan pihak media juga amat
dialu-alukan untuk pelaksanaan perjanjian ini, dan kerjasama seperti ini
akan ditingkatkan,” katanya selepas menghadiri sesi perjumpaan bersama
dengan wakil dewan perniagaan di sini semalam.
Beliau berkata,
pembabitan Malaysia dalam perjanjian perdagangan antarabangsa seperti
itu harus dilakukan bagi memastikan barangan Malaysia mampu bersaing
secara kompetitif di pasaran luar negara.
“Sekiranya Malaysia
tidak terbabit dalam perjanjian seperti ini, implikasinya adalah
barangan tempatan akan dikenakan cukai import yang tinggi berbanding
negara lain, maka ini akan menyukarkan syarikat kita untuk menembusi
pasaran asing,” katanya.
Malaysia adalah antara 11 negara yang
terbabit dalam beberapa siri perbincangan perjanjian TPP dan perjanjian
itu bakal membentuk satu jaringan perdagangan bebas terbesar di dunia,
jika berjaya dilaksanakan.
Mustapa turut menjelaskan mengenai
senario politik semasa kini hanya akan memberi kesan sementara kepada
perkembangan ekonomi negara ini.
“Di setiap negara, pastinya
akan ada pihak pembangkang dan semestinya terdapat perhimpunan yang
dianjurkan oleh mereka, namun ‘silent majority’ yang akan menentukan
keadaan dan kemajuan negara,” katanya.
Sumber: myMetro
0 comments:
Post a Comment