Bomba China guna gergaji, pelayar keluarkan budak tersekat dalam paip kumbahan
Seorang bayi lelaki baru lahir, dipercayai dibuang ibu bapanya ke dalam
lubang tandas, ditemui masih hidup dan berjaya diselamatkan anggota
bomba di timur China, selepas tersangkut di saluran paip kumbahan
semalam.
Polis menyifatkan kes itu sebagai cubaan membunuh dan
sedang memburu ibu bapa bayi malang itu. Penduduk China turut meluahkan
kemarahan berikutan kejadian itu di media sosial.
Stesen televisyen
China CCTV melaporkan, bayi itu ditemui di saluran paip kumbahan di
kawasan perumahan di Jinhua, wilayah pesisir pantai Zhejiang.
Dengar tangisan
“Bayi berusia dua hari itu ditemui, selepas penduduk melaporkan mereka mendengar bunyi tangisan,” lapor stesen televisyen itu.
Selepas
mengesan kedudukan bayi anggota bomba memotong saluran paip yang
mempunyai ukur lilit 10 sentimeter menggunakan playar dan gergaji dengan
berhati-hati.
Saluran paip yang sudah dipotong dengan bayi di
dalamnya itu kemudian dibawa ke hospital selepas cubaan mereka untuk
menariknya keluar tidak berjaya.
Ia kemudian diserahkan kepada
doktor yang mengambil masa kira-kira sejam memotong saluran itu sedikit
demi sedikit hingga berjaya mengeluarkan bayi seberat 2.3 kilogram
dengan uri masih terlekat pada tubuhnya.
Akhbar milik kerajaan
Zhejiang News melaporkan, keadaan bayi itu yang diberi nama Bayi No 59,
berdasarkan nombor inkubatornya, kini stabil dan selamat.
Rakaman video kerja menyelamat itu turut disiarkan di seluruh negara.
Berita
penemuan bayi itu mencetuskan ratusan ribu ulasan di laman web Weibo
yang hampir sama dengan Twitter. Sebilangan besar mengucapkan syabas
dengan kejayaan menyelamatkan bayi berkenaan dan melahirkan kemarahan
dengan kekejaman ibu bapanya.
“Saya tidak dapat menerima dan memaafkan perbuatan membuang bayi dengan uri masih terlekat di tubuh ke dalam lubang tandas.
“Bolehkah
mereka dipanggil manusia? Mereka lebih kejam daripada haiwan,” kata
seorang pengirim yang menamakan dirinya Jiding Jiajia.
Saksi rakaman menyelamat
Seorang lagi pelayar internet, If-Free, berkata beliau begitu sebak ketika menyaksikan rakaman usaha menyelamat bayi itu.
“Melihat
bayi itu mengerang dan menangis ketika saluran paip itu dibuka amat
menyentuh perasaan saya. Anda terpaksa melalui saat paling getir di
dalam hidup dan saya yakin masa depan anda akan cerah,” katanya.
Laporan
mengenai bayi yang dibuang sejurus dilahirkan semakin meningkat di
China dan ini sebahagian besarnya berpunca daripada dasar satu keluarga
satu anak yang diamalkan dengan ketat di negara itu.
Sumber: Berita Harian
0 comments:
Post a Comment