Masalah boleh sebabkan fizikal bayi cacat, kelahiran pramatang
Kehamilan
boleh membuatkan anda ketawa dan menangis tanpa sebab. Ia berlaku
kerana perubahan hormon ketika kehamilan yang mengganggu penghantaran
mesej ke otak, selain dipengaruhi emosi sebelum bergelar ibu bapa.
Bagaimanapun,
setiap bakal ibu mengalami perubahan emosi yang tidak sama ketika
hamil. Ada yang muram dan ada yang ceria. Tidak kurang juga bakal ibu
yang mengalami tekanan perasaan.
Ia kebiasaannya memuncak pada
minggu keenam hingga 10 minggu kandungan dan semakin berkurangan apabila
memasuki trimester kedua. Akhirnya hilang begitu saja sewaktu kandungan
semakin sarat.
Perasaan risau banyak dipengaruhi harapan tinggi
bakal ibu bapa itu sendiri terhadap anak mereka. Dikatakan, tekanan itu
bermula sejak bayi masih dalam kandungan.
Antara bebanan yang
sering membelenggu adalah persediaan menyambut bayi dan perkara remeh
seperti “Adakah aku membaca buku kehamilan yang terbaik?, Adakah produk
bayi yang dibeli memberi jaminan terbaik? Adakah aku mampu membentuk
perkembangan mental dan sosial anak itu nanti?
Bentuk tubuh berubah
Pada sama sama, badan mengalami perubahan dan menyebabkan ibu hamil berasa tidak menarik di mata pasangan.
Ramai benci dengan pertambahan berat mendadak dan berasa diri gemuk sedangkan ia adalah perubahan biasa dialami ibu mengandung.
Selain
itu, bebanan emosi bertambah apabila timbul simptom kehamilan seperti
pedih ulu hati, penat dan sering mahu buang air kecil.
Wanita
yang mengalami fasa ini pasti bersetuju jika keadaan itu pernah
membuatkan mereka berasa seperti hilang semangat sehingga ada yang
mengatakan tidak mahu hamil lagi. Bebanan itu sebenarnya yang membuatkan
emosi anda turun naik dan menjadi tidak stabil.
Justeru, bagi
menikmati saat indah membawa insan kecil di dalam kandungan tentunya
ramai yang ingin mengetahui kaedah menguruskan emosi tidak stabil ketika
hamil.
Adakah bakal ibu perlu risau jika gagal mengawal emosi
lebih daripada tiga minggu? Jawapannya anda perlu berjumpa pengamal
perubatan sebelum dirujuk kepada kaunselor.
Mungkin anda antara
10 peratus wanita mengalami masalah tekanan (ringan kepada sederhana)
sewaktu hamil. Petanda mudah untuk mengenali masalah itu adalah jika
anda sering berasa gugup atau cemas.
Jika gangguan kecelaruan emosi lebih berat, anda mungkin mengalami masalah bipolar (gangguan perasaan).
Kajian
menunjukkan masalah emosi ketika hamil yang tidak dirawat boleh
menjejaskan fizikal bayi, meningkatkan peratusan kelahiran bayi pra
matang dan seterusnya risiko meroyan.
INFO: Kaedah menguruskan emosi tidak stabil ketika hamil
- Paling mudah tentunya dengan mengingatkan diri bahawa perubahan emosi ketika hamil adalah normal. Jadi, belajar menerima adalah kaedah paling mudah membantu anda menguruskan emosi ketika ia memuncak.
- Cuba juga jadi lebih santai dan tidak membebankan diri melakukan pelbagai tugasan sebelum melahirkan.
- Perasaan runsing juga pasti berkurangan jika hubungan dengan pasangan lebih intim. Hubungan itu umpama jaminan pasangan ada untuk anda dan anda juga tidak berseorangan ketika sedang menghadapi cabaran mengandung.
- Ada juga ibu hamil tanpa suami di sisi, jadi dekati keluarga dan rakan rapat yang setia mendampingi. Wujudkan sistem sokongan sebelum dan selepas bayi dilahirkan.
- Tidak salah jika lakukan sesuatu yang boleh membuatkan rasa gembira misalnya menghabiskan waktu berkualiti bersama pasangan atau waktu bersendiri seperti menikmati urutan prenatal dan menonton wayang bersama teman baik.
- Luahkan kebimbangan yang membelenggu bersama rakan yang memahami. Luahan atau kata-kata kadangkala mampu menunjukkan jalan penyelesaian kepada kebimbangan anda.
- Pengurusan tekanan juga penting daripada membiarkan ia membebankan perasaan dan emosi. Pastikan cukup tidur, makan yang teratur, senaman dan ceriakan hidup. Kenali apakah punca menyebabkan perasaan terbeban.
Sumber: Berita Harian
0 comments:
Post a Comment