KOTA KINABALU : Program Selangkah Ke Menara Gading dapat dijadikan sebagai medium penyaluran maklumat tentang pelbagai program oleh pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Datuk Bernard Giluk Dompok berkata demikian pada Perasmian Program Selangkah Ke Menara Gading di Donggongon, Penampang. Kelmarin.
Program tersebut juga merupakan anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UMS dan Pejabat Parlimen Penampang.
“ Dengan pelaksanaan program ini secara tidak langsung sebenarnya, dapat dijadikan medium oleh pihak UMS dalam penyaluran maklumat tentang bidang-bidang pengajian, aktiviti mahupun program kemahasiswaan yang terdapat di institusi ini dengan lebih jelas lagi,” jelas beliau.
Katanya, tidak dinafikan bahawa maklumat boleh sahaja dicari melalui jaringan internet. Namun, keadaan dan penerimaan agak jauh berbeza dengan diri sendiri datang dan menemui sumber tersebut.
Terdahulu, beliau turut memuji inisiatif serta komitmen pihak UMS dalam menjayakan program tersebut di zon Penampang serta ia juga seiring dengan wawasan negara yang ke-6 dalam mewujudkan masyarakat berpengetahuan dan serba-boleh dalam pelbagai bidang.
“ Saya juga difahamkan bahawa aktiviti-aktiviti ataupun pengisian yang dilaksanakan dalam program ini lebih memfokuskan kepada program ilmiah dan kemasyarakatan melalui pameran akedamik dan pameran korporat daripada agensi-agensi kerajaan serta program baktisiswa oleh mahasiswa mahasiswi UMS.
“ Kita juga mahu mewujudkan sebuah masyarakat saintifik dan progresiif, mempunyai daya perubahan yang tinggi dan memandang ke depan seiring dengan wawasan negara kita yang ke-6,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Alumni UMS, Left. Kol. Prof. Madya Dr. Mahmud Hj Sudin dalam teks ucapannya telah berkata program tersebut juga akan dilaksanakan secara berperingkat di 3 zon utama di seluruh negeri.
“ Program ini akan dijalankan mengikut di 3 zon utama yang mana merangkumi zon 1 iaitu Beaufort, Kota Marudu, Papar dan Penampang. Zon 2 pula merangkumi zon Tawau dan Sandakan. Manakala, zon 3 bertempat di zon Pensiangan dan Sepanggar,” jelasnya.
Mahmud juga turut memaklumkan tujuan program itu adalah untuk memperkenalkan serta memberi pendedahan kepada masyarakat setempat tentang UMS secara holistiknya.
Sumber : New Sabah Times
0 comments:
Post a Comment